am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kedatangan Wali Band bagi konsert Wali Exclusive One Night Only di Megastar Arena, di sini, pada 21 November depan terus mencuri perhatian apabila kira-kira 70 peratus tiket sudah terjual.
Sambutan hangat ini menyusuli persembahan luar biasa kumpulan dari Indonesia ini pada konsert Wali Live In JB di EduCity Complex, Johor Bahru pada 3 Oktober lalu, yang menghimpunkan seramai 14,000 penonton.
Dianjurkan 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures, konsert Wali Exclusive One Night Only akan berlangsung pada jam 8 malam dengan kapasiti terhad iaitu hanya 5,000 penonton.
Konsep persembahan eksklusif ini bagi memberikan peluang kepada peminat untuk menyaksikan Wali Band dalam sebuah acara yang lebih terhad.
Antara lagu popular yang menjadi identiti kumpulan ini termasuk Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Yank, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat Maksiat (TOMAT).
Konsert ini sekali lagi menampilkan penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif sebagai artis undangan khas yang akan membuka tirai sebelum Wali Band mengambil alih persembahan utama.
Justeru, peminat yang masih belum mendapatkan tiket berharga antara RM182 hingga RM2,222 disarankan untuk membuat pembelian awal bagi mengelakkan kekecewaan.
Konsert Wali Exclusive One Night Only turut mendapat sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi bagi acara berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




