JDT buru rekod bersih, Kuching City enggan mengalah

JDT buru rekod bersih, Kuching City enggan mengalah

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua aksi Liga Super malam esok menjanjikan pertarungan hangat dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mengukuhkan cengkaman di puncak liga, manakala Kuching City FC (KCFC) bertekad mempertahankan kedudukan tiga teratas.

Perhatian utama terarah ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila pendahulu liga, JDT dijadualkan bertandang ke laman Terengganu FC (TFC) pada jam 9.00 malam bagi misi meneruskan rekod bersih tanpa kalah.

Dengan koleksi 15 mata setakat ini, skuad Harimau Selatan berpeluang mengukuhkan kedudukan di persada carta, namun cabaran fizikal menanti berikutan jadual padat dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) dan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC).

Bagaimanapun, TFC memiliki sedikit kelebihan fizikal menerusi tempoh rehat yang lebih panjang, sekali gus bersiap sedia memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri bagi menyekat dominasi gergasi Selatan itu.

Meskipun berdepan penggiliran pemain akibat kepadatan jadual, kedalaman skuad Harimau Selatan tetap menjadikan mereka ancaman berbahaya buat skuad Penyu tidak kira siapa pun barisan pemain yang bakal diturunkan.

Satu lagi aksi tumpuan menyaksikan DPMM FC melayan kunjungan Kuching City FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan pada jam 8.15 malam.

Mengumpul 12 mata ketika ini, kedudukan KCFC dalam kelompok dua teratas berada dalam ancaman Selangor FC (SFC) yang mengekori rapat dan berpeluang memintas sekiranya mencatatkan kemenangan ke atas Penang FC untuk mengumpul 15 mata.

Justeru, anak buah Aidil Sharin Sahak tidak ada pilihan selain mencatatkan kemenangan di Bandar Seri Begawan bagi memastikan mereka terus memberi tekanan dalam perebutan takhta liga serta mengelak dipintas pencabar terdekat itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top