'Saya tinggalkan Real Madrid jika jadi Vinicius' – Mourinho

'Saya tinggalkan Real Madrid jika jadi Vinicius' – Mourinho

Madrid: Jose Mourinho mengakui dirinya mungkin sudah meninggalkan Real Madrid pada musim panas lalu sekiranya berada di tempat Vinicius Junior, susulan layanan buruk yang terus diterima pemain sayap Brazil itu.

Vinicius, 26, berdepan pelbagai insiden termasuk ejekan penyokong lawan dan penderaan berbaur perkauman sejak menyertai gergasi Sepanyol itu pada 2018.

Terbaharu, pemain itu dilayangkan kad merah ketika membantu Madrid menewaskan Villarreal hujung minggu lalu selepas didakwa menarik rambut lawan, sekali gus menyaksikan dia digantung empat perlawanan.

Penggantungan itu menyebabkan Vinicius bakal terlepas aksi ‘El Clasico’ menentang Barcelona pada 25 Oktober ini.

“Dia seorang anak muda yang luar biasa dan mudah menjalinkan hubungan baik dengannya. Dia juga seorang insan hebat,” kata Mourinho kepada pemberita, hari ini.

“Penghargaan besar harus diberikan kepadanya kerana terus menjalani kehidupan, bertahan menghadapi semua ini dan masih mampu tersenyum.

“Jika saya berada di tempatnya, mungkin saya sudah tiada di sini. Pada musim panas lalu, saya mungkin akan mendesak untuk meninggalkan kelab ini dan beraksi di liga atau negara lain, di tempat yang mempunyai kelab pesaing serta stadium yang menghormatinya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Vinicius memilih untuk terus bersama Madrid apabila menandatangani kontrak baharu sehingga 2032 pada musim panas lalu.

Mourinho berkata, keputusan itu mencerminkan kecintaan pemain berkenaan terhadap kelab dan bandar Madrid, selain keyakinannya bahawa keadaan boleh berubah menjadi lebih baik.

“Dia menyayangi Real Madrid dan bandar ini. Dia percaya keadaan sentiasa boleh diperbaiki, sebab itulah dia memperbaharui kontrak dan terus tersenyum.

“Tiada siapa boleh merampas kegembiraan hidup, bekerja dan bersama rakan sepasukannya,” katanya.

Madrid dijadual menentang Sevilla awal pagi Isnin ini dengan misi mengelak daripada ketinggalan lebih jauh dalam perebutan kejuaraan La Liga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top