am@hmetro.com.my
Foto Zuhainy Zulkiffli
Georgetown: Keluarga tiga rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir besar di Nepal Ogos lalu, menerima bantuan secara ‘one-off’ RM6,500 bagi keperluan mereka.
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, RSN Rayer berkata, keluarga itu masing-masing menerima RM5,000 daripada pihaknya, manakala RM1,000 dan RM500 lagi disampaikan oleh Pejabat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Selain menzahirkan keprihatinan terhadap insiden yang berlaku, Rayer berkata, bantuan itu bagi meringankan beban ditanggung ahli keluarga berikutan masih tiada khabar berita daripada mangsa yang hilang.
“Jadi, kita juga menyeru kerajaan turut beri bantuan secara one-off kepada keluarga yang terbabit sebagai kebajikan bagi meringankan beban mereka.
“Kita juga mohon Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya memudah cara pengeluaran dokumen seperti sijil kematian dan lain-lain lagi yang diperlukan keluarga bagi kegunaan pelbagai tuntutan termasuk insurans.
“Ia bukan sahaja membabitkan mangsa di Pulau Pinang tetapi keluarga bagi 54 mangsa lagi dan saya akan usulkan perkara ini di Parlimen,” katanya hari ini.
Terdahulu Rayer ditemui ketika Program Sumbangan Prihatin bagi Keluarga Mangsa Bencana Banjir di Nepal di Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang di Jalan Macalister, di sini.
Sementara itu, P Rubbani, 39, berkata, sumbangan itu memberi sedikit ruang untuk ‘bernafas’ susulan kejadian yang menimpa membabitkan suaminya, M Poobalan, 40, yang juga seorang penolong jurutera.
“Bantuan ini adalah bagi kegunaan dua anak berusia enam dan sembilan tahun selain beberapa komitmen lain,” katanya ketika ditemui.
Bagi M Shaveel Vanan, 18, dia akan mendaftar sebagai penuntut di Politeknik Seberang Perai pada bulan depan dan kegembiraan itu tidak dapat dikongsikan bersama ibu dan bapanya, K Mangala Vanan, 51, dan M Malani, 50, berikutan tragedi itu.
“Perbelanjaan setakat ini dibantu abang dan kakak saya berusia 24 dan 22 tahun.
“Bapa bekerja sebagai Pengurus Sekuriti, manakala ibu pula suri rumah dan ini kali pertama mereka ke sana. Impian bapa mahu melihat saya menyambung pengajian ke luar negara untuk bergelar peguam, namun saya terima sahaja ketentuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




