alagesh@nst.com.my
Kuantan: Apabila Noorafiza Rujohan menyewakan rumahnya pada Ogos 2024 kepada lelaki yang mendakwa bekerja dengan syarikat utiliti, dia menyangka sudah menemui penyewa yang boleh dipercayai.
Dua tahun kemudian, wanita berusia 37 tahun itu berdepan mimpi buruk selepas mendapat tahu penyewanya didakwa menggunakan rumah di Taman Seri Damai di sini, untuk aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram.
Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap wanita itu yang tinggal di Kuala Lipis, sekiranya dikenakan kompaun yang tinggi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Noorafiza berkata, apabila dia membuat iklan di media sosial, penyewa berkenaan menghantar maklumat peribadinya, termasuk salinan MyKad, menerusi WhatsApp.
Katanya ketika bertemu lelaki itu di Kuantan, penyewa berkenaan memakai pakaian seragam kerja TNB berwarna biru, sekali gus menguatkan kepercayaannya individu itu benar-benar bekerja dengan syarikat utiliti berkenaan.
“Dia beritahu saya dia bekerja dengan TNB, dan syarikat itu yang akan membayar sewa rumah. Pembayaran sewa dibuat tepat pada waktunya setiap bulan,” katanya.
Mimpi buruknya bermula pada 29 Julai lalu apabila seorang jiran memaklumkan bahawa pihak polis menyerbu rumah itu kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram.
“Hati saya hancur apabila melihat keadaan rumah itu,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Noorafiza adalah antara lapan tuan rumah yang bimbang dibebani kompaun TNB yang tinggi selepas premis milik mereka digunakan untuk perlombongan Bitcoin secara haram oleh penyewa.
Mereka hadir pada sidang media dianjurkan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim.
Noorafiza berkata, dia sudah memeriksa kerosakan dan membuat laporan polis sebelum mengunjungi ibu pejabat TNB, yang kemudian diberitahu ia dalam proses pengiraan.
“TNB memberitahu saya mungkin perlu membayar beberapa ratus ribu ringgit untuk membersihkan rekod saya.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan, dan keadaan rumah kucar-kacir dengan timbunan komponen rosak bertaburan di atas lantai.
“Bagaimana saya nak bayar jumlah yang sebegini besar? Saya juga perlu mencari wang untuk membaiki rumah ini,” katanya.
Beliau berkata, nasib menimpa Rabiatul Adawiyah Abdul Rahman, yang kesnya pernah dipaparkan dalam media, menarik perhatiannya sebelum dia menyedari ramai lagi tuan rumah yang turut menjadi mangsa sindiket perlombongan Bitcoin yang sama.
Seorang lagi mangsa, Mah Soon Hin, 48, berkata, dia dikenakan kompaun TNB berjumlah hampir RM500,000 selepas rumahnya di Bukit Setongkol di sini, yang dilengkapi perabot lengkap, didakwa digunakan sindiket perlombongan Bitcoin.
Katanya, penyewa yang kelihatan seperti orang baik-baik itu sebenarnya seorang penipu yang menggunakan MyKad palsu dan kini gagal dihubungi.
Siti Akhmaliah Jamaluddin, 33, pula merayu ihsan daripada pihak TNB kerana tidak mampu membayar kompaun yang terlalu tinggi itu.
Katanya, beberapa mangsa sudah bertemu Pengurus Besar TNB Pahang, namun tidak banyak yang boleh mereka lakukan.
“Saya berharap pihak kerajaan dapat campur tangan untuk membantu kami. Jumlah yang dikenakan ke atas sesetengah daripada kami sangat besar… kami mungkin tidak mampu melunaskan hutang ini sepanjang hayat kami,” katanya.
Faiz yang bertindak sebagai jurucakap mangsa berkata, bilangan tuan rumah yang terjejas semakin meningkat, namun ahli sindiket masih belum ditangkap.
Beliau berkata, mangsa terperangkap dengan modus operandi yang serupa, di mana penyewa didakwa mengemukakan dokumen pengenalan diri palsu dan membayar sewa secara konsisten melalui mesin deposit tunai (CDM), bukannya perbankan dalam talian.
“Saya sudah membangkitkan perkara ini kepada Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad) dan sedang berusaha mengatur pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi TNB untuk mencari jalan penyelesaian.
“Saya simpati dengan mangsa ini, bayangkan mereka kena bayar ganti rugi untuk perkara yang mereka langsung tidak tahu,” katanya.
New Straits Times sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak TNB.
© New Straits Times Press (M) Bhd




