1.2 juta pencarum dinasihat sertai semula LINDUNG 24 Jam

1.2 juta pencarum dinasihat sertai semula LINDUNG 24 Jam

MELAKA – “Jangan tunggu sehingga ditimpa musibah baru mencari perlindungan.”

Demikian peringatan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan kepada seramai 1.2 juta pencarum yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai skim LINDUNG 24 Jam.

Beliau berkata, peningkatan kos perubatan yang kini boleh mencecah ratusan ribu ringgit malah sehingga RM1 juta bagi sesetengah rawatan menjadikan perlindungan keselamatan sosial semakin penting, khususnya apabila berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.

Ramanan menyampaikan ucapan pada perasmian Program i-Lindung u-Gegar @ Melaka di Dataran Keris, Melaka pada Sabtu. Foto: Bernama

Ramanan menyampaikan ucapan pada perasmian Program i-Lindung u-Gegar @ Melaka di Dataran Keris, Melaka pada Sabtu. Foto: Bernama

Menurutnya, kemalangan boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang petanda, justeru orang ramai tidak seharusnya mengambil mudah keperluan mendapatkan perlindungan kewangan bagi menghadapi situasi tidak dijangka.

“Baik saya ingatkan kepada 1.2 juta yang tidak mencarum ini, janganlah bila hujan baru kita nak cari payung.

“Sekarang kos perubatan sangat tinggi. Dahulu kos rawatan mungkin puluhan ribu ringgit, tetapi sekarang boleh mencecah ratusan ribu ringgit, malah ada yang sehingga RM1 juta.

“Kita tidak mengharapkan perkara itu berlaku, tetapi kemalangan tidak beri pengumuman sebelum terjadi. Sebab itu kita perlu melindungi diri dan ambil langkah berjaga-jaga, jangan tunggu sehingga terlambat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program i LINDUNG u Gegar @ Melaka di Dataran Keris di sini pada Sabtu.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, kerajaan turut menyediakan insentif pelepasan cukai tambahan sebanyak RM150 setahun menerusi Belanjawan 2027 bagi menggalakkan pencarum kembali menyertai LINDUNG 24 Jam.

Katanya, insentif itu diharap dapat mendorong golongan berkenaan mendapatkan semula perlindungan menyeluruh di luar waktu bekerja, di samping mengambil kira cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Ramanan (dua dari kiri) bergambar bersama pemenang cabutan bertuah yang membawa pulang motosikal elektrik.

Ramanan (dua dari kiri) bergambar bersama pemenang cabutan bertuah yang membawa pulang motosikal elektrik.

“Ini peluang terbaik buat 1.2 juta pencarum yang memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 Jam supaya kembali mencarum bagi mengukuhkan perlindungan di luar waktu kerja.

“Kesedaran ini wajar diberi penekanan kerana dalam tempoh 1 Jun hingga 30 September lalu, LINDUNG 24 Jam merekodkan 10,424 tuntutan atau bersamaan purata 85 kes sehari,” katanya.

Program i LINDUNG u Gegar @ Melaka merupakan penganjuran julung kali di zon selatan, khususnya di Alor Gajah, sebagai kesinambungan Festival Mega i LINDUNG u: KESUMA Bersama Rakyat di Kota Damansara pada bulan lalu.

Mengulas lanjut Ramanan berkata, penganjuran program itu bertujuan mendekatkan perkhidmatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada masyarakat, selain memberi peluang kepada penduduk setempat memahami dengan lebih dekat pelbagai skim perlindungan yang ditawarkan.

Pada program sama, seramai 400 suri rumah di Melaka turut didaftarkan sebagai pencarum LINDUNG Kasih bagi membolehkan mereka menikmati perlindungan PERKESO sekiranya ditimpa musibah.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi membantu seramai 368,098 pekerja gig menerusi insentif padanan caruman Lindung Kendiri sebanyak 35 peratus untuk pekerja e-hailing dan p-hailing berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Katanya, kadar insentif itu boleh ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya penyedia platform turut berkongsi tanggungjawab membiayai caruman pekerja masing-masing.

Beliau turut mengingatkan penyedia platform supaya mematuhi kewajipan caruman PERKESO yang mula dikuatkuasakan sejak 1 Oktober lalu, termasuk melaksanakan potongan caruman mandatori dan menyediakan sistem integrasi bagi memudahkan pembayaran caruman pekerja gig.

Ramanan (tengah) bergambar bersama orang ramai yang hadir memeriahkan program i LINDUNG u Gegar di Dataran keris, Melaka pada Sabtu.

Ramanan (tengah) bergambar bersama orang ramai yang hadir memeriahkan program i LINDUNG u Gegar di Dataran keris, Melaka pada Sabtu.

Tambah beliau, program berkenaan turut menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) kepada majikan untuk menyelesaikan tunggakan caruman, sekali gus memastikan perlindungan pekerja terus terpelihara.

Katanya, bagi golongan bekerja sendiri pula, PERKESO menyediakan geran padanan caruman LINDUNG Kendiri dengan subsidi 70 peratus untuk pencarum kali pertama dalam 17 sektor bukan mandatori, manakala subsidi 50 peratus ditawarkan bagi pembaharuan caruman dalam sektor sama.

“Kaunter khas LINDUNG 24 Jam turut dibuka sepanjang program bagi memberi peluang kepada pencarum yang sebelum ini tidak menyertai skim berkenaan untuk mendapatkan maklumat dan mendaftar semula,” jelas beliau.

Dalam pada itu katanya, kerajaan dijangka membawa Skim Pengembara ke Parlimen pada sidang kali ini selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri sebelum ia dilaksanakan seperti yang diumumkan Perdana Menteri sempena Hari Pekerja 2026.

Ramanan mengayuh beca selepas merasmikan program i LINDUNG u Gegar @ Melaka di Dataran Keris pada Sabtu.

Ramanan mengayuh beca selepas merasmikan program i LINDUNG u Gegar @ Melaka di Dataran Keris pada Sabtu.

Ramanan berkata, skim berkenaan memberi perlindungan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan berulang-alik antara Malaysia dengan negara tempat mereka bekerja, khususnya golongan yang berdepan risiko kemalangan ketika dalam perjalanan.

Katanya, PERKESO dijadual mengadakan sesi libat urus dengan lebih 800 NGO serta rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura bagi memberi penerangan mengenai skim berkenaan pada esok.

 

 

Scroll to Top