am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru menjalankan proses penghantaran pulang seorang nelayan warga negara itu yang hanyut sehingga ke perairan Pulau Tioman, Pahang, hari ini.
Pegawai Pelaksana Fungsi Konsular 3 KJRI Johor Bahru, Dhania Afini Lestari berkata, pihaknya bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, ia susulan laporan kehilangan nelayan berkenaan yang diterima pihak berkuasa Indonesia.
“Selepas berjaya diselamatkan, mangsa menjalani pemeriksaan kesihatan serta diberikan bantuan penginapan sementara dan bekalan logistik.
“Proses penghantaran pulang dilakukan hari ini, di mana mangsa diiringi pihak APMM Pahang sebelum diserah terima kepada pihak berkuasa sempadan Indonesia di titik sempadan perairan kedua-dua negara pada jam 5 petang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mangsa, Bachtiar yang berasal dari Kepulauan Anambas, Kepulauan Riau, sebelum ini dilaporkan hilang selepas terpisah daripada bot yang dinaiki dua anaknya ketika keluar menangkap ikan pada 10 Oktober lalu.
Bot dinaiki mangsa dilaporkan kehabisan bahan api dan bekalan makanan sebelum dia akhirnya ditemui selamat di perairan Pulau Tioman, Khamis lalu.
Sementara itu, KJRI Johor Bahru menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada APMM Pahang atas kerjasama erat serta bantuan diberikan sepanjang proses pencarian sehinggalah mangsa selamat dihantar pulang.
Pada masa sama, pihak konsulat turut menasihati semua nelayan supaya sentiasa memastikan bot berada dalam keadaan baik dan selamat, mempunyai bekalan bahan api serta makanan mencukupi, selain dilengkapi peralatan navigasi dan perhubungan sebelum turun ke laut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




