PN dijangka umum calon PRN Melaka pada 24 Oktober ini

PN dijangka umum calon PRN Melaka pada 24 Oktober ini

am@hmetro.com.my

Jasin: Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 24 Oktober ini.

Presiden WAWASAN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengumuman itu akan dibuat pada Sabtu depan selepas perkembangan berkaitan isu PN menyusul daripada prosiding mahkamah pada 22 Oktober ini.

“Kita akan umumkan minggu hadapan, hari Sabtu kalau tidak silap saya.

“Semua ini akan kita umumkan selepas keputusan yang dibuat oleh mahkamah pada 22 hari bulan nanti. Lokasi akan kita maklumkan nanti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi WAWASAN hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung WAWASAN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Mengulas persiapan menghadapi PRN Melaka, Hamzah berkata, mesyuarat turut membincangkan jumlah kerusi yang akan ditandingi PN, selain penyelarasan jentera pilihan raya dari negeri lain.

“Mesyuarat juga membincangkan perkembangan semasa dalam PN, termasuk langkah yang akan diambil sekiranya isu berbangkit gagal diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mengumumkan WAWASAN berjaya merekodkan 100,801 ahli selepas kira-kira enam minggu proses pendaftaran keahlian dibuka.

“Proses itu bermula apabila ketua bahagian dilantik diberi kebenaran mencari ahli di bahagian masing-masing kira-kira enam minggu lalu.

“Pencapaian itu membanggakan apabila banyak bahagian berjaya merekodkan lebih 1,000 ahli dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Melaka pada 31 Oktober, manakala undi awal 10 November dan hari mengundi pada 14 November.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memaklumkan pengumuman calonnya bagi PRN Melaka akan dibuat pada 24 Oktober ini, manakala Barisan Nasional (BN) dijadual mengumumkan calonnya pada 28 Oktober.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top