am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Kakak kepada Mohammad Safiq Ruslan yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Bukit Kerayung, Jeram, di sini, semalam, menceritakan detik sedih mengajar mengucap dua kalimah syahadah, walaupun diberitahu adiknya sudah tiada.
Nor Hidayah Ruslan, 38, berkata, dia masih terbayang saat memegang tangan adiknya yang sudah sejuk.
“Walaupun penduduk kampung kata sudah tiada, saya tetap ajar arwah mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.
Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang juga bapa kepada anak lelaki berusia empat tahun, maut selepas Yamaha Y15 ditunggangnya bertembung Perodua Ativa yang keluar dari simpang.
Nor Hidayah berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian.
“Sehari sebelum kejadian, arwah sepatutnya menghantar ayah (Ruslan Sabar, 69) ke klinik kerana tidak sihat. Saya telefon dia untuk minta tolong dan tanya ‘kerja atau tidak’. Arwah kata dia kerja, selepas itu diam.
“Saya kata ‘tak apa’. Kalau petang saya lapang, saya sendiri yang hantar. Waktu berbual saya rasakan nada arwah lain daripada sebelumnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Cherakah, Jeram, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, siasatan awal mendapati Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah Meru menghala ke Kuala Selangor.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit keluar dari simpang sebelum dilanggar motosikal yang datang dari arah kanan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




