'Dakwaan aktiviti dadah berhampiran IPD Sentul dalam podcast kisah 10 tahun lalu'

'Dakwaan aktiviti dadah berhampiran IPD Sentul dalam podcast kisah 10 tahun lalu'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dakwaan kes pengedaran dadah berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang tular menerusi sebuah siniar (podcast) sebenarnya merujuk kejadian 10 tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya mengesan video berdurasi dua minit 30 saat menerusi akaun TikTok, jam 10.38 pagi tadi.

Beliau berkata, video berkenaan memaparkan dakwaan mengenai kes pengedaran dadah berhampiran sebuah balai polis di Sentul, sekali gus mendorong polis menjalankan semakan.

“Hasil semakan mendapati, kejadian yang dibangkitkan dalam ‘podcast’ berkenaan berlaku pada 12 Julai 2016 dan tiga laporan polis berkaitan kejadian diterima ketika itu.

“Semakan lanjut mendapati, kandungan podcast itu adalah penceritaan semula pengalaman seorang tetamu dalam bidang kewartawanan yang berlaku pada tahun berkenaan,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadil menegaskan, publisiti seumpama itu tidak wajar dilakukan kerana boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap polis.

Beliau berkata, penyebaran kandungan berkenaan juga boleh menjejaskan imej serta kredibiliti pasukan.

“Semua pihak perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab terhadap sebarang perkongsian atau penyebaran maklumat kepada umum.

“Polis komited untuk terus memelihara integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Dalam siniar berkenaan, seorang tetamu yang berkongsi pengalamannya sebagai wartawan mendakwa pernah memantau kegiatan dadah di sebuah rumah ibadat yang tidak lagi digunakan, berhampiran sebuah balai polis di Sentul.

Dia mendakwa berada di kawasan itu antara tiga hingga empat hari bagi mengesan kegiatan dadah yang dikatakan berlaku di tandas lama bangunan terbabit.

Tetamu berkenaan turut mempersoalkan bagaimana kegiatan dadah yang didakwanya berskala besar boleh berlaku di hadapan balai polis tanpa disedari pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top