nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kerajaan Negeri Kelantan sudah mengambil tindakan dengan menyita ladang sireh yang dipercayai diusahakan etnik Rohingya di Kampung Padang Guchil, Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hilmi Abdullah berkata, selain menyita kawasan tanaman sireh berkenaan, pihaknya juga menyita kediaman yang dalam pembinaan.
Katanya, hasil siasatan yang dijalankan pihaknya, tanah yang diusahakan tanaman sireh oleh komuniti Rohingya itu disewa daripada penduduk tempatan pada kadar RM2,000 setahun.
Pada masa sama, pihaknya juga sudah merekodkan keterangan pemilik tanah dan kediaman dengan kedua-dua mereka adalah pesara guru selain tidak tinggal di kampung berkenaan.
“Berhubung laporan isu tular membabitkan penyewaan tanah milik warga tempatan kepada komuniti Rohingya, kita sudah menjalankan siasatan awal dengan penguat kuasa turun ke lapangan pada minggu lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat struktur binaan dan aktiviti penempatan di atas tanah milik berkenaan yang digunakan sebagai tempat kediaman serta kawasan tanaman sireh.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, syarat nyata kegunaan tanah bagi lot-lot berkenaan adalah untuk tanaman getah dan dusun.
“Susulan itu, bagi kawasan ladang, kita mengarahkan untuk menghentikan kerja-kerja pembersihan tanah kerana tiada kebenaran merancang ladang selain menghentikan pembinaan bangunan yang dipercayai untuk kegunaan stor,” katanya.
Jelasnya, semasa pemeriksaan dijalankan, empat individu etnik Rohingya berada di lokasi berkenaan dan hanya seorang mengemukakan kad UNCHR, manakala tiga yang lain tidak mengemukakan sebarang dokumen.
“Hasil temu bual mendapati, mereka menyewa tanah berkenaan pada kadar RM2,000 setahun manakala kediaman berkenaan disewa pada kadar RM300 sebulan.
“Keberadaan etnik Rohingya bukan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Pejabat Tanah dan bagi kes berkenaan, hanya itu tindakan yang boleh diambil,” katanya.
Terdahulu, NSTP melaporkan, hamparan ladang sireh seluas lebih dua hektar yang didakwa diusahakan etnik Rohingya di Kampung Padang Guchil, di sini, sejak beberapa tahun lalu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.
Ladang yang dibina dengan junjung kayu secara tersusun itu difahamkan disewa daripada pemilik tanah yang berada di luar Kelantan pada kadar RM600 hingga RM1,000 bagi setiap hektar, sebelum hasilnya dijual kepada pemborong.
Jika sebelum ini, kawasan berkenaan seperti hutan terbiar, namun berubah menjadi ladang sireh sejak beberapa tahun lalu selepas disewa kepada komuniti berkenaan.
Lebih membimbangkan, penduduk mendakwa kehadiran etnik Rohingya di kampung berkenaan hanya bermula dengan sekitar 15 orang lebih 10 tahun lalu, namun kini didakwa meningkat kepada hampir 100 orang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




