Tular video lelaki dera seksual terhadap kucing, SAFM gesa siasatan segera

Tular video lelaki dera seksual terhadap kucing, SAFM gesa siasatan segera

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) memandang serius dakwaan penderaan seksual membabitkan seekor kucing susulan penularan rakaman video yang mengganggu emosi dan dipercayai dikongsi menerusi platform TikTok.

SAFM menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung perkara itu.

SAFM berkata, dakwaan itu perlu dipandang serius dan jika terbukti, perbuatan itu adalah satu bentuk penganiayaan haiwan yang serius serta wajar dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.

“SAFM menggesa pihak berkuasa menyiasat kemungkinan pemakaian Seksyen 377 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), sekiranya berkaitan.

“Penularan rakaman berkenaan di media sosial juga perlu diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang komunikasi dan multimedia yang berkaitan.

“SAFM turut menggesa pihak berkuasa mengenal pasti individu terbabit, mengesahkan kesahihan rakaman video itu, menentukan lokasi kejadian yang didakwa berlaku serta mendapatkan semua bukti digital yang berkaitan,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.

Tular di media sosial, satu video berdurasi 55 saat memaparkan perbuatan jijik dilakukan oleh seorang lelaki terhadap haiwan itu.

Justeru, SAFM menegaskan, keutamaan segera juga perlu diberikan kepada usaha mengesan kucing berkenaan, menilai keadaannya dan memastikan keselamatannya terjamin.

“Penguatkuasaan yang berkesan amat penting bagi melindungi kebajikan haiwan serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap perlindungan yang diberikan kepada haiwan di bawah undang-undang negara.

“Sekiranya bukti yang mencukupi menunjukkan berlakunya kesalahan, tindakan undang-undang sewajarnya perlu diambil.

“SAFM merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat sahih, rakaman asal atau bukti lain yang berkaitan supaya tampil membantu siasatan.

“Diharap pihak berkuasa berkaitan bertindak tanpa berlengah, mengutamakan keselamatan haiwan berkenaan serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya melalui proses undang-undang yang adil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top