norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kemeriahan majlis resepsi perkahwinan Bella Astillah, 32, dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, bertukar sebak dengan ucapan istimewa daripada cahaya mata Bella iaitu Mohamed Ayden Adrean, 9 dan Ara Adreanna, 6.
Pada acara berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, malam ini, Ayden dan Ara tampil segak dan cantik mengayakan busana tradisional Melayu berona merah.
Ayden dalam ucapannya menitip doa buat perkahwinan ibu bapa tersayang, termasuk terima kasih kepada Syed Saddiq kerana menyayangi mereka dua beradik dengan penuh kasih tulus.
“Saya Ayden, dari dalam hati ini mengucapkan kepada daddy, kamu hadir dalam kehidupan kami sekeluarga ketika saya masih kecil dan kadang-kadang saya juga tidak memahami apa sedang berlaku.
“Saya cuma melihat mommy bersedih. Sebagai anak lelaki, saya sekarang nampak mommy sudah tersenyum semula dan dengan adanya awak, mommy juga kini banyak ketawa serta sangat gembira.
“Terima kasih sudah memilih mommy dan berikan kami kebahagiaan kembali. Mommy, saya sangat sayangkan awak kerana menjaga kami dengan sangat baik. Kepada daddy, terima kasih menyayangi kami dan mommy.
“Semoga Allah merahmati perkahwinan mommy dan daddy. Saya dan Ara menyayangi kalian berdua, mommy dan daddy,” ucapnya dengan tenang walau dalam nada sebak.
Pada majlis resepsi perkahwinan itu, seramai 3,000 tetamu hadir dan pasangan pengantin tampil menggayakan busana bertemakan tradisional Melayu berona merah dan diikuti suit berwarna hitam serta gaun putih labuh.
Tetamu juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Didi Astilah dan vokalis Nidji, Muhammad Yusuf Nur Ubay atau Ubay.
Selain rakan selebriti, majlis resepsi penuh warna-warni kemeriahan dan kegembiraan itu diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan (VIP) dari kalangan pemimpin negara dan barisan menteri.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis diadakan di Menara Merdeka Maybank, di sini, oada 10 Oktober lalu.
Seterusnya, dua lagi majlis resepsi pasangan ini dengan tema Kenduri Rakyat akan berlangsung di kampung halaman mereka iaitu di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.
© New Straits Times Press (M) Bhd




