am@hmetro.com.my
Butterworth: Selepas lebih tujuh dekad, penduduk Kampung Manis di sini bakal menikmati penempatan baharu apabila kawasan didiami itu akan dibangunkan semula melalui projek Rumah Mutiaraku (RMKu) hasil kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Kerajaan Pulau Pinang dan pemaju.
EXCO Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S Sundarajoo, berkata sebanyak 174 keluarga yang masih menetap di atas tanah terbabit akan menerima sebuah unit kediaman secara percuma sebagai rumah gantian.
Beliau berkata, kediaman ditawarkan itu bukan rumah kos rendah seperti kebiasaan, sebaliknya unit berkeluasan 850 kaki persegi dengan harga jualan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) ialah RM250,000.
“Ini memang berita cukup manis untuk penduduk Kampung Manis.
“Kebiasaannya, kediaman gantian diberikan ialah rumah kos rendah berkeluasan 650 kaki persegi.
“Namun untuk penduduk Kampung Manis, rumah gantian ditawarkan adalah unit seluas 850 kaki persegi.
“Harga jualan oleh kerajaan melalui LPNPP ialah RM250,000 berbanding harga pasaran rumah ini dianggarkan antara RM350,000 hingga RM400,000.
“Rumah ini diberikan percuma kepada 174 keluarga yang masih tinggal di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian dan Penyerahan Surat Niat kepada Penerima RMKu Bagi Tujuan Pengosongan Tapak dan Penempatan Semula Penghuni Kampung Manis, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad.
Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata, 53 keluarga yang mempunyai sejarah dengan Kampung Manis tetapi bukan lagi penduduk tetap di kawasan itu pula turut diberi peluang memiliki unit rumah sama.
“Kerajaan negeri menawarkan rumah sama kepada mereka pada harga RM150,000 menerusi kaedah sewa beli.
“Secara keseluruhan, kira-kira 227 keluarga akan menerima rumah gantian menerusi pembangunan semula Kampung Manis,” katanya.
Beliau berkata, penduduk yang perlu berpindah sementara untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan terbabit, akan menerima bantuan sewa rumah RM700 sebulan daripada pihak pemaju hingga kediaman baharu siap dibina.
“Penduduk perlu mencari sendiri rumah sewa masing-masing, dan bantuan RM700 akan diberikan hingga rumah baharu itu siap,” katanya.
Mengulas tempoh pembinaan pula, Sundarajoo berkata, pemaju diberikan tempoh 24 bulan dari tarikh kelulusan pelan untuk menyiapkan projek berkenaan.
“Perjanjian kita dengan pemaju menetapkan bangunan perlu disiapkan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh kelulusan pelan.
“Bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dan mengelakkan sebarang kemalangan di tapak projek, kita meminta penduduk berpindah sementara lebih awal,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azhar berkata, kilang penapisan gula milik MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) di kawasan berkenaan tidak terbabit projek pembangunan semula Kampung Manis.
Justeru, beliau berkata, kilang itu akan terus beroperasi dengan satu perjanjian pajakan selama 15 tahun akan dimeterai antara kedua-dua pihak dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama, Azhar berkata, operasi Kilang Gula di kawasan berkenaan tidak terbabit dengan projek pembangunan semula Kampung Manis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




