Kuala Lumpur: Sejarah negatif membabitkan sesebuah rumah termasuk kematian, pembunuhan atau kisah seram boleh menjejaskan kebolehpasaran hartanah apabila ia menimbulkan stigma dan mengurangkan bilangan pembeli yang berminat.
Pensyarah Kanan Bidang Harta Tanah, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, kesannya tidak sama bagi setiap hartanah kerana bergantung kepada jenis kejadian, lokasi, keadaan fizikal serta persepsi masyarakat.
“Rumah dengan sejarah negatif dalam keadaan tertentu boleh mempunyai kumpulan bakal pembeli lebih kecil berikutan pembeli mungkin keberatan dengan sejarah hartanah terbabit.
“Kesannya tempoh pemasaran boleh menjadi lebih panjang walaupun lokasi dan keadaan rumah sebenarnya baik,” katanya.
Mengulas mengenai harga, Muhammad Azwan berkata, tiada kadar tetap boleh digunakan bagi menentukan penurunan harga rumah hanya berdasarkan sejarah negatif.
“Sebarang potongan harga perlu dilihat berdasarkan bukti transaksi hartanah sebanding dan reaksi sebenar pasaran, bukannya ditetapkan hanya berdasarkan andaian atau cerita hartanah tersebut,” katanya.
Beliau berkata, tiga faktor utama yang boleh mempengaruhi kejatuhan harga ialah jenis dan tahap serius kejadian, tahap publisiti serta kekuatan stigma dalam kalangan masyarakat setempat.
“Tempoh masa penting kerana kejadian yang berlaku bertahun-tahun dahulu tidak semestinya ada kesan sama jika ia sudah tidak lagi menjadi perhatian masyarakat.
“Media sosial boleh memanjangkan tempoh kewujudan stigma kerana sesuatu cerita boleh terus dikongsi, dicari dan muncul semula walaupun kejadian telah lama berlaku.
“Ini menyebabkan persepsi negatif terhadap sesuatu rumah atau alamat menjadi lebih sukar untuk hilang,” katanya.
Menurutnya, stigma terhadap sesebuah hartanah tidak semestinya kekal dalam jangka panjang kerana ia boleh berkurangan apabila masa berlalu, generasi pembeli berubah dan perhatian masyarakat beralih kepada perkara lain.
“Namun jika sesuatu kes terus mendapat perhatian media sosial atau melibatkan kejadian yang serius, kesannya boleh bertahan lebih lama,” katanya.
Sementara itu, katanya, rumah yang lama kosong atau terbengkalai pula berdepan dua isu utama iaitu kemerosotan keadaan fizikal dan persepsi negatif.
“Kerosakan, penyelenggaraan tertangguh, keselamatan, vandalisme serta persekitaran yang tidak terurus boleh mengurangkan daya tarikan dan meningkatkan kos pemulihan sekali gus menjejaskan permintaan,” katanya.
Beliau berkata, faktor lain yang boleh menyebabkan rumah terbengkalai sukar dijual termasuk tempoh terbiar, kos baik pulih, masalah perundangan atau pemilikan serta persepsi pembeli.
“Jika ada masalah berkaitan pemaju, hak milik atau dokumentasi yang belum selesai, faktor tersebut boleh menjadi lebih besar daripada keadaan fizikal rumah itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, rumah terbengkalai yang turut mempunyai sejarah kematian, pembunuhan atau kisah seram pula berpotensi berdepan kesan lebih ketara kerana wujud dua lapisan negatif iaitu risiko fizikal akibat lama terbiar dan stigma psikologi akibat sejarah hartanah.
“Dalam keadaan ini, pemilik mungkin berdepan tentangan pembeli yang lebih tinggi dan tempoh pemasaran yang lebih panjang,” katanya.
Muhammad Azwan berkata, pemilik perlu memberi tumpuan kepada usaha memulihkan keadaan rumah bagi meningkatkan semula daya tarikannya kepada pembeli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




