Kontena hempap kereta, pemandu treler ditahan

Kontena hempap kereta, pemandu treler ditahan

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pemandu treler berusia 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian kontena terjatuh lalu menghempap kereta sehingga meragut nyawa dua beranak di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati lori kontena jenis Hino berkenaan berhenti di lorong kiri jalan untuk menjalankan kerja memunggah kontena yang diletakkan di bahu jalan.

Katanya, ketika kejadian, pemandu treler sedang menaikkan kontena ke atas treler, manakala Toyota Avanza yang dipandu mangsa berada di lorong kanan menghala ke Pelabuhan Sepanggar.

“Bagaimanapun, kontena berkenaan secara tiba-tiba hilang keseimbangan sebelum terjatuh ke sebelah kanan lalu menghempap kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Akibat kejadian, kedua-dua mangsa terhimpit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba jam 9.55 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Likas pada jam 9.58 malam.

Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Pemandu treler lelaki berusia 49 tahun ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua beranak selepas sebuah kontena terjatuh lalu menghempap kereta dinaiki mereka berhampiran Pelabuhan Sepanggar, petang semalam.

Operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa dijalankan pasukan bomba dengan bantuan dua kren bagi mengalihkan kontena sebelum kereta yang terperangkap di bawahnya berjaya dikeluarkan selepas lebih tiga jam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top