SHAH ALAM – McDonald’s Malaysia (McDonald’s) meraikan ulang tahun ke-10, Bulan Komuniti Mekdi dengan berkongsi keceriaan bersama anak-anak rumah kebajikan menerusi sambutan hari jadi di seluruh negara.
Sambutan kemuncak di McDonald’s Pandu-Lalu Seksyen 3, Shah Alam menyaksikan anak-anak dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Persatuan Kanak- Kanak Trinity Selangor dan Yayasan Sunbeams Home berkumpul bagi meraikan sambutan hari jadi bersama.
Tahun ini, lebih 100 restoran McDonald’s mengambil bahagian menerusi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), membabitkan lebih 140 rumah kebajikan di seluruh negara.
Sambutan hari jadi diadakan sama ada di rumah kebajikan atau restoran McDonald’s bagi berkongsi keceriaan bersama anak-anak, khususnya mereka yang mungkin belum pernah diraikan menerusi sambutan seumpama itu.

Azmir (empat dari kanan), Melati (lima dari kanan) dan Shamsidar (kanan)
bergambar bersama penerima sumbangan yang diwakili pihak pengurusan rumah
kebajikan terlibat. Foto: Mohd Halim Abdul Wahid
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, usaha menjadi sebahagian daripada komuniti dan menyumbang kepada kesejahteraannya sentiasa menjadi teras syarikat itu.
“Sepanjang 10 tahun Bulan Komuniti Mekdi, pasukan restoran kami telah meluangkan masa bersama anak-anak dan para penjaga serta membina hubungan dengan rumah kebajikan di sekitar mereka. Kami mahu terus menjadi jiran yang prihatin dan hadir untuk masyarakat,” katanya.
Turut hadir pada program itu ialah Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai dan Pengarah Kanan Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia, Shamsidar Yahya.
Beliau berkata, Bulan Komuniti Mekdi turut memberi peluang kepada syarikat itu meraikan anak-anak yang mungkin belum pernah merasai sambutan hari jadi.
“Kami mahu mereka diingati dan dihargai, serta berpeluang bergembira bersama kawan-kawan dan membawa pulang kenangan manis,” katanya lagi.
Bagi menambah kemeriahan sambutan tahun ini, anak-anak turut diberi peluang menghasilkan sesuatu yang istimewa untuk rakan-rakan mereka.

Azmir, Melati dan Shamsidar bergambar bersama anak-anak dari Rumah Kasih
Harmoni Paya Jaras, Persatuan Kanak-Kanak Trinity Selangor dan Yayasan
Sunbeams Home. Foto: Mohd Halim Abdul Wahid
Anak-anak dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras menghasilkan video ucapan hari jadi selepas mengikuti bengkel menghasilkan video, manakala anak-anak dari beberapa rumah kebajikan lain menghasilkan hadiah buatan tangan menerusi bengkel seni dan kraf.
Video dan hadiah berkenaan menjadi sebahagian daripada sambutan itu, sekali gus memberikan sentuhan peribadi kepada pengalaman mereka.
Sempena Bulan Komuniti Mekdi, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) turut menyalurkan sumbangan tunai kepada rumah kebajikan terpilih di bawah JKM bagi membantu memenuhi keperluan kanak-kanak dalam jagaan mereka.
Kongsi keceriaan Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab berkata, kehadiran pihak yang meluangkan masa untuk meraikan hari jadi kanak- kanak tersebut memberikan kegembiraan kepada mereka.

Kanak-anak dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Persatuan Kanak-Kanak Trinity
Selangor dan Yayasan Sunbeams Home berkumpul untuk meraikan sambutan hari
jadi bersama. Foto: Mohd Halim Abdul Wahid
“Bagi anak-anak kami, apabila ada yang datang meluangkan masa dan meraikan hari jadi mereka, mereka rasa amat terharu.
“Peluang untuk mencuba aktiviti baharu dan bergembira bersama kawan-kawan menjadikan sambutan ini lebih bermakna.
“Kami berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia atas perhatian serta sokongan yang diberikan kepada anak-anak dalam jagaan kami,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2017, Bulan Komuniti Mekdi telah menjadi sebahagian daripada usaha teras McDonald’s untuk menyantuni masyarakat.
Setiap tahun, McDonald’s menjalankan 10,000 aktiviti komuniti di seluruh negara, membawa manfaat kepada ratusan ribu rakyat Malaysia.



