am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sifat ikhlas dan memiliki budi pekerti tanpa memandang harta pelakon, Emma Maembong menjadi daya tarikan pada DJ Kidd hingga membuatkan dirinya rasa tersentuh.
DJ Kidd atau nama sebenar, Nur Irfan mengakui pernah mempersoalkan sama ada Emma berasa malu apabila menjalin hubungan dengannya, terutama ketika dirinya berdepan pandangan serong segelintir pihak.
Namun, katanya, Emma membuktikan keikhlasan dalam perhubungan tidak bergantung pada harta benda, sebaliknya sikap bertanggungjawab dan kejujuran seseorang.
“Sebelum ini, ramai orang memandang rendah terhadap saya. Saya selalu bertanya kepada Emma, tak rasa rendah darjat ke kalau berkawan dengan saya?
“Tetapi Emma seorang wanita yang tidak memandang harta. Dia lebih mementingkan hati budi dan orang yang bertanggungjawab terhadap dirinya.
“Saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin. Saya akan menjaga hatinya, tidak membiarkan dia bersedih dan memberikannya perhatian,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini, malam tadi.
DJ Kidd turut menyifatkan Emma sebagai insan istimewa yang banyak membantunya, selain tidak pernah lokek memberikan sokongan meskipun dirinya berdepan pandangan negatif orang lain.
Malah, DJ Kidd tidak dapat menahan sebak ketika mengenang segala kebaikan Emma yang disifatkannya turut menjadi antara sumber rezeki dalam kehidupannya.
“Dia banyak memberikan rezeki kepada saya. Emma adalah punca rezeki saya. Dia banyak membantu dan menyokong saya. Walaupun ramai orang merendahkan saya, hanya Allah yang tahu.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk Emma. Doakanlah yang terbaik untuk kami,” katanya sambil bergenang air mata.
Sebelum ini, Emma atau nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail, 34, mengakui berkawan rapat dengan DJ Kidd dan hubungan mereka mula menjadi perhatian netizen sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, pada Mac lalu, DJ Kidd mendedahkan bahawa dia tidak lagi bersama aktres berkenaan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, DJ Kidd mengambil keputusan menjelaskan status hubungan mereka selepas sering menerima pertanyaan orang ramai.
Namun, pada Jun lalu, pasangan itu kembali menjadi perhatian apabila foto mereka berdua-duaan tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




