'Saya tak lemah semangat' – Abbe Hae tekad terus salur maklumat PATI dan Rohingya walau pernah bermalam di lokap

'Saya tak lemah semangat' – Abbe Hae tekad terus salur maklumat PATI dan Rohingya walau pernah bermalam di lokap

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Aktivis masyarakat, Abbe Hae menegaskan beliau tidak akan berhenti sebaliknya terus melaporkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan etnik Rohingya di negeri ini selepas apa yang berlaku terhadap dirinya dan kumpulannya.

Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan yang juga pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan berkata, sebagai rakyat Malaysia dan penduduk di negeri ini, dia terpanggil untuk berbuat demikian.

“Saya tidak melakukan kerja polis atau mendahului polis, sebaliknya saya hanya menjalankan tugas sebagai badan bukan kerajaan (NGO) iaitu melakukan pemantauan dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Apa yang boleh saya katakan, saya tidak lemah semangat dengan apa yang berlaku walaupun terpaksa bermalam di lokap kerana saya mendapat banyak maklumat daripada masyarakat.

“Saya bukannya pergi menahan mereka sebaliknya hanya memantau dan jika terdapat maklumat seperti salah guna perniagaan, saya akan laporkan kepada pihak yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi.

Semalam media melaporkan, Abbe Hae ditahan bersama 15 individu yang lain petang kelmarin selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Bagaimanapun, aktivis berkenaan bersama rakan-rakannya dibebaskan jam 12 tengah hari semalam.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, polis Kelantan membuka dua kertas siasatan berhubung isu tular membabitkan seorang aktivis media sosial serta isu berkaitan komuniti Rohingya di negeri ini.

Dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 341/268 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Abbe Hae bagaimanapun berkata, selepas ini beliau akan mengubah kaedah pemantauan dengan bergerak dalam kelompok kecil selepas ini.

“Kita tidak mahu lagi bergerak dalam kelompok besar kerana dikhuatiri ada isu berbangkit termasuk mereka yang menyamar sebagai ahli kumpulan kita.

“Kita akan lebih berhati-hati selepas ini bagi mengelak imej NGO terjejas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top