TFC perlu bangkit perbaiki kelemahan – Nafuzi

TFC perlu bangkit perbaiki kelemahan – Nafuzi

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui anak buahnya perlu segera bangkit memperbaiki kelemahan selepas tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Nafuzi berkata, pendekatan terlalu berhati-hati pada awal permainan menyebabkan skuad Penyu dibolosi dua gol mudah sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan pelawat untuk mengawal perlawanan.

Bagaimanapun, beliau tidak menganggap pemainnya beraksi buruk, sebaliknya berpuas hati dengan komitmen dan kerja keras yang ditunjukkan walaupun beberapa tonggak utama tidak dapat diturunkan.

“Secara keseluruhan, pemain tidaklah beraksi dengan teruk. Bagi saya, persembahan mereka boleh diterima dari segi komitmen dan kerja keras.

“Walaupun ada pemain utama tidak dapat beraksi, pemain yang diturunkan masih mampu mempamerkan karakter yang kita inginkan,” katanya.

Mengulas kegagalan menyempurnakan sepakan penalti, Nafuzi berkata, peluang itu sepatutnya dimanfaatkan kerana mampu mengubah momentum perlawanan dan memberi peluang kepada TFC untuk merapatkan jurang jaringan.

Katanya, Gervane Kastaneer yang kebiasaannya mengambil sepakan penalti menyerahkan tanggungjawab itu kepada Mateusinho, namun percubaan pemain berkenaan gagal menghasilkan gol.

Menurutnya, TFC tampil lebih yakin pada babak kedua selepas memperkemaskan corak permainan dan mencipta beberapa peluang untuk mengancam kubu lawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top