am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan melancarkan Buku Menjulang Takhta, selain sampul surat hari pertama, setem dan melancarkan syiling khas sempena Jubli Perak pemerintahan baginda.
Keberangkatan tiba baginda di Pustaka Raja Tun Uda di sini diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Turut mengiringi baginda adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin dalam sembah ucapan merakamkan penghargaan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) atas kerjasama dan komitmen dalam merealisasikan penerbitan naskhah bersejarah Menjulang Takhta: 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor.
“Ia adalah usaha bermakna dalam merakam sejarah pemerintahan Sultan Selangor serta mengabadikan warisan dan identiti Kesultanan Selangor untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.
Amirudin juga merakamkan penghargaan sama ke atas Pos Malaysia Berhad dengan keluaran setem khas yang mengangkat warisan serta kebesaran Diraja Selangor.
Katanya, setem menampilkan visual imej Balairung Seri, Istana Alam Shah, imej Tengkolok Balung Raja dan Keris Terapang Gabus, serta motif geometri dan Bunga Tanjung berkelopak sembilan, melambangkan keagungan institusi diraja, keluhuran adat dan kedaulatan Selangor.
“Selain itu, Perbendaharaan Negeri Selangor mengeluarkan syiling khas sebagai tanda penghargaan terhadap 25 tahun pemerintahan baginda serta lambang kemajuan, kestabilan dan kemakmuran di Selangor, disamping memartabatkan warisan Kesultanan Selangor.
“Medalion ini juga menjadi simbol warisan Kesultanan Selangor serta memupuk patriotisme, di samping memperteguh penghargaan rakyat terhadap institusi diraja dan peranannya dalam kesejahteraan negeri,” katanya.
Amirudin berkata kesemua elemen itu membuktikan bahawa usaha memperingati jubli perak pemerintahan Sultan Selangor bukan sekadar melalui catatan sejarah, malah turut mengangkat seni, simbol dan warisan yang mempunyai nilai sejarah serta budaya tinggi.
“Inilah tanda ingatan berupa hadiah kecil dan sumbangan daripada kerajaan negeri Selangor yang disampaikan melalui kerjasama serta sokongan Perbendaharaan Negeri Selangor, UPM dan Pos Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




