Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak kisah digelar ‘Menteri Tandas’ asalkan rakyat dan pengguna jalan raya dapat menikmati kemudahan tandas awam yang bersih, wangi dan selesa.
Kor Ming berkata demikian susulan kejayaan Petron Malaysia menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai rangkaian stesen minyak dengan bilangan tandas bertaraf empat dan lima bintang terbanyak di negara ini.
Tak jadi masalah asal rakyat nikmati kemudahan
Menerusi perkongsian beliau di media sosial, sebanyak 86 peratus daripada keseluruhan stesen minyak Petron memperoleh penarafan tandas empat atau lima bintang sepanjang tempoh penilaian MBOR pada 2025.
Walau bagaimanapun, jumlah itu kini meningkat kepada 91 peratus daripada lebih 830 stesen minyak Petron di seluruh negara.
“Mungkin ada yang pernah menyindir atau menggelar saya “Menteri Tandas.”
“Namun bagi saya, itu tidak menjadi masalah janji rakyat dan pengguna jalan raya di Malaysia dapat menikmati kemudahan tandas yang bersih, wangi, dan selesa,” katanya.
Dalam pada itu, Petron menerusi kenyataannya memaklumkan usaha meningkatkan kebersihan tandas bermula sejak 2018 melalui kempen “Tandas Kita Bersih”.
Kempen berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kebersihan dan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kemudahan awam, selain menambah baik kemudahan tandas serta memperkukuh amalan kebersihan dan penyelenggaraan di seluruh rangkaian stesen minyaknya.

Petron turut menjelaskan bahawa pengusaha stesen minyak dan pekerja memainkan peranan penting dalam mengekalkan standard kebersihan bagi memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman yang selesa dan menyenangkan.
Pencapaian itu memperlihatkan usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti kemudahan awam, sekali gus menyokong aspirasi untuk menjadikan kebersihan tandas sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia.
Sumber: Facebook Nga Kor Ming




