nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pengguna perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menikmati diskaun sebanyak 30 peratus untuk tiket kelas ekonomi selama sebulan bermula 12 Disember ini, sempena pembukaan perkhidmatan rel berkenaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, diskaun itu diberikan kepada orang ramai yang tidak menikmati kadar konsesi, manakala golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan pelajar kekal menerima diskaun 50 peratus.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menikmati perkhidmatan ECRL pada kadar lebih rendah sepanjang bulan pertama operasinya.
“ECRL dijangka memulakan perkhidmatan pada 12 Disember ini. Jadi kita akan memulakan penjualan tiket tidak lama lagi dan bagi bulan pertama ini, orang ramai akan menikmati diskaun 30 peratus,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Transport Expo Asia (TXA), di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, Jemaah Menteri meluluskan diskaun sebanyak 50 peratus bagi kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berusia 60 tahun ke atas, pemegang kad OKU serta pesara kerajaan.
Selain itu, pelajar berusia 13 hingga 24 tahun layak mendapat diskaun 40 peratus.
Tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan ECRL dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer dilaporkan bermula serendah RM125 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bagi laluan sama bermula RM147.
Bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang transit bermula RM95 sehala dan perkhidmatan ekspres bermula RM110, manakala perjalanan Gombak-KotaSAS sejauh 209 kilometer, tambang bermula RM60 bagi transit dan RM68 untuk ekspres.
ECRL turut menawarkan pilihan perkhidmatan transit dan ekspres bagi memenuhi keperluan penumpang, dengan kapasiti tren sehingga 425 penumpang bagi konfigurasi kelas ekonomi sepenuhnya dan 409 penumpang bagi konfigurasi yang menggabungkan kelas perniagaan serta ekonomi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




