nuratikah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat kelemahan besar dalam proses pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di Jakarta baru-baru ini.
Beliau berkata, kelemahan itu berlaku apabila keputusan pelaburan terlalu bergantung kepada trend antarabangsa dan panduan institusi luar, termasuk SoftBank serta beberapa syarikat besar dari Eropah dan Jepun.
Katanya, kepercayaan terhadap reputasi institusi antarabangsa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan penelitian dan tanggungjawab dalam menguruskan wang rakyat.
“Dalam kes ini, kita bergantung pada SoftBank dan beranggapan mereka tidak mungkin membuat pelaburan secara cuai, tetapi kenyataannya begitu.
“Saya akuilah (terdapat kelemahan). Tetapi, tidak boleh menafikan keberhasilan KWAP keseluruhannya yang mencatat keuntungan lumayan, itu yang nyata.
“Tetapi kelemahan itu harus kita akui,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhubung kerugian besar dalam pelaburan KWAP, termasuk langkah kerajaan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta penambahbaikan bagi memperketat proses pelaburan wang awam pada masa hadapan bagi mengelakkan kerugian.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, walaupun cadangan pelaburan diteliti Jawatankuasa Pelaburan sebelum dibawa ke peringkat lembaga, kelemahan yang berlaku menunjukkan keperluan memperkukuh proses penilaian sedia ada.
Katanya, pengurusan dana awam menuntut penelitian dan tanggungjawab lebih tinggi bagi memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat dengan telus.
“Saya terima peringatan bahawa dalam menjaga amanah wang rakyat itu harus ada beberapa proses lebih ketat lagi.
“Walaupun saya lihat memang prosesnya (sedia ada) ketat tetapi disebabkan kita bergantung kepada Sofbank (perkara seperti ini berlaku).
“Jadi, (tindakan) yang dilakukan ialah memperketatkan lagi peraturan, bukan saja ikut trend international (antarabangsa) tetapi juga bertanggungjawab dalam kes ini,” katanya.
Sebelum ini, KWAP dilaporkan mengalami kerugian kira-kira RM200 juta selepas diperdaya menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan membabitkan syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.
Anwar berkata, keputusan pelaburan KWAP dalam eFishery dibuat melalui proses penilaian dan tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia, termasuk pengesahan penyata kewangan oleh juruaudit antarabangsa bertauliah.
Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas disabitkan kesalahan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd




