KUANTAN – Percaturan politik dan perebutan kuasa dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa menjadi antara faktor yang mengancam kelangsungan gabungan itu susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftarannya.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Datuk Jasri Jamaludin berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kepimpinan PN menyelesaikan kemelut dalaman yang berlaku.
Menurutnya, tindakan RoS itu susulan isu tadbir urus dalaman, termasuk dakwaan Bersatu tidak dilibatkan dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, memperlihatkan masalah yang perlu ditangani segera.
“Adakah (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin dan Pas dalam keghairahan merebut kuasa dan pengaruh, akhirnya menyumbang kepada kehancuran gabungan yang mereka sendiri mahu kuasai,” katanya pada Selasa.
Terdahulu, Ros membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menerusi kenyataan, RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.
Jasri yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang turut berpandangan, perebutan kuasa, persaingan antara kem dan pertikaian kepimpinan mendedahkan kelemahan perpaduan dalam gabungan berkenaan.
“Bagi gabungan yang bercita-cita mentadbir negara, ini merupakan kegagalan politik yang memalukan.
“Perebutan kuasa, persaingan antara kem dan pertikaian kepimpinan mendedahkan betapa rapuhnya perpaduan mereka,” jelasnya.
Beliau menambah, sama ada perkembangan ini disengajakan atau tidak, hakikatnya percaturan politik mereka kini mengancam kelangsungan PN sendiri.
Ujarnya, pemimpin gabungan itu terpaksa mempertimbangkan tindakan undang-undang sambil berdepan kerosakan yang berlaku dalam barisan mereka sendiri.
“Jadi, apa lagi yang boleh mereka lakukan? Terus menuding jari, meneruskan perebutan kuasa atau mengakui kesilapan yang membawa mereka ke tahap ini?, ” jelasnya.
Menurut Jasri, sesebuah gabungan tidak boleh bercita-cita untuk mentadbir negara sekiranya gagal mempertahankan kesatuan dalam kalangan kepimpinannya.
“Jika Hamzah, Pas dan pemimpin PN yang lain tidak mampu menyelesaikan persengketaan serta memulihkan keyakinan terhadap gabungan itu.
“Mereka mungkin akhirnya menyedari bahawa percaturan untuk menguasai kuasa telah memusnahkan platform politik yang menjadi sandaran cita-cita mereka sendiri,” katanya.



