Jovian Mandagie gagal ketepi perintah bayar RM10 juta

Jovian Mandagie gagal ketepi perintah bayar RM10 juta

PUTRAJAYA: Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie masih perlu membayar RM10 juta yang merupakan pinjaman persahabatan kepada dua syarikat.

Dua syarikat yang dinamakan sebagai responden adalah Bina Pragmatik Sdn. Bhd. dan Cekap Air Sdn. Bhd.

Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wong Kian Kheong dalam keputusan 2-1 menolak rayuan Jovian selaku perayu untuk mengetepikan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada 2 dan 4 April 2024.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan (Mahkamah Tinggi) dikekalkan bagi kedua-dua rayuan. Tiada isu yang perlu dibicarakan,” katanya yang membuat keputusan majoriti bersama-sama Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril manakala Hakim Datin Evrol Mariette Peters menentang keputusan itu.

Pada April 2024, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin yang antara lain mengarahkan Jovian membayar pinjaman persahabatan RM5 juta masing-masing kepada syarikat Cekap Air Sdn. Bhd. dan Bina Pragmatik Sdn. Bhd..

Pada 25 Februari 2022, Zhen Wei telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian yang juga kenalannya atas permintaan lisan pereka fesyen itu dan atas dasar pinjaman persahabatan. Pinjaman tersebut sepatutnya dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Dalam keputusan majoriti berkenaan, mahkamah turut mendapati Jovian gagal membuktikan terdapat sebarang isu yang perlu dibicarakan (triable issues) bagi menafikan tuntutan pinjaman berjumlah RM5 juta daripada setiap syarikat terbabit.

Katanya, usahawan fesyen itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi mengukuhkan pembelaannya bahawa wang RM10 juta yang dipindahkan adalah untuk tujuan pelaburan dan bukannya pinjaman persahabatan.

“Tiada isu yang perlu dibicarakan kerana beban pembuktian adalah ke atas defendan. Tiada pelaburan peribadi mahupun laporan dikemukakan.

“Apabila tuntutan dibuat, tiada sebarang penafian terhadap hutang tersebut. Ini merupakan satu pengakuan hutang (admission of debt),” katanya.

Sementara itu, Hakim Evrol Mariette yang memberikan keputusan bertentangan berpandangan rayuan berkenaan sepatutnya dibenarkan kerana tiada bukti dokumen bertulis mengenai terma ‘pinjaman persahabatan’ semasa transaksi dibuat.

Dengan keputusan itu, Jovian kekal dikehendaki membayar jumlah RM5 juta kepada setiap syarikat terbabit bersama faedah lima peratus setahun.

Mahkamah turut menetapkan Jovian perlu membayar kos sebanyak RM60,000. – UTUSAN 

Scroll to Top