syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam: Pelakon, Fattah Amin meluahkan rasa gembira apabila melihat hubungan dan kemesraan yang semakin erat antara anaknya, Nur Fatima Aisya bersama adiknya, Muhammad Jarir Umar.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkongsi perkembangan terkini anak bongsunya yang kini hampir memasuki usia empat bulan.
“Alhamdulillah Jarir sudah pandai meniarap sikit-sikit. Sebelum ini dia terlentang sahaja dan tangannya pun semakin kuat. Selain itu, kami berdualah yang sibuk melayani Fatima dan Jarir,” katanya.
Menurut pelakon drama Andai Masih Ada Maaf itu, Fatima kerap bermain bersama adiknya setiap kali berkunjung ke rumah.
“Setiap kali Fatima datang, saya nampak ‘bonding’ (kemesraan) mereka semakin kuat. Contohnya, ada satu hari ketika sesi live, dia ada tanya, ‘Daddy, boleh tak nak bawa Jarir (masuk live)? Nak tunjuk.’ Biasalah, dia tak tahu kan, jadi saya cakap belum lagi, Jarir masih kecil.
“Tapi, insya-Allah bila Jarir sudah besar sedikit kami akan kongsikan (wajah). Kami tahu ramai yang teruja dan teringin nak tengok, cuma belum tiba masanya lagi,” katanya.
Mengulas mengenai rutin harian selepas kehadiran anak lelaki itu, Fattah mengakui dia dan isteri, Amira Othman saling membantu menguruskan anak di tengah malam.
“Saya sibuk juga dengan penggambaran, tapi siapa yang ada anak kecil mereka akan faham. Kena bangun tengah malam itu biasa untuk bagi susu dan sebagainya.
“Walaupun ada kerja di sebelah pagi, automatik akan terbangun sekali kalau anak terjaga. Saya bantu isteri juga, sebenarnya kami sama-sama menjaga Jarir yang selalu terjaga waktu malam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




