'Kami menghampirinya kerana sangka dia mahu serah diri' – Anggota Polis cedera dilibas parang

'Kami menghampirinya kerana sangka dia mahu serah diri' – Anggota Polis cedera dilibas parang

am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Seorang anggota polis berpangkat koperal tidak menyangka operasi rutin membanteras dadah nyaris meragut nyawanya apabila suspek dikejar melibas tangan kirinya menggunakan parang.

Kejadian berlaku ketika dia menyertai sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Lalang Pepuyu di Tanah Merah, pada 17 Oktober lalu, sebagai sebahagian operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah.

“Ketika kami tiba suspek ada di rumah bersama ibunya.

“Suspek ada dalam bilik sebelum menyedari kehadiran kami yang memasuki rumahnya. Dia yang bersenjatakan parang terus melarikan diri menuju jalan utama,” katanya.

Anggota berusia 37 tahun itu berkata, dia bersama rakan setugas mengejar suspek sejauh kira-kira satu kilometer sebelum lelaki berkenaan menyerangnya.

“Kami menghampirinya kerana sangka dia mahu serah diri.

“Saya mendekatinya untuk melucutkan senjata dan mengambil parang daripada tangannya.

“Sebaliknya, dia menghayunkan parang ke arah saya dan melibas lengan kiri saya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, selepas dilibas, lengan kirinya terasa kebas, sebelum dia melihat darah mula mengalir.

Menurutnya, sepanjang 10 tahun kerjaya dalam pasukan polis, ia kali pertama dia berdepan situasi mengancam nyawa ketika menjalankan tugas.

“Keadaan saya kini stabil dan saya sudah dibenarkan keluar dari hospital, tetapi masih memerlukan rawatan susulan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top