Kasih adik tiada batas! FFG santuni pemuda korban kerja demi kakak OKU, bapa hidap strok

Kasih adik tiada batas! FFG santuni pemuda korban kerja demi kakak OKU, bapa hidap strok

Demi menjaga kakak yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), seorang pemuda sanggup mengetepikan pekerjaannya meskipun keluarga mereka turut diuji dengan keadaan bapa yang menghidap strok.

Pengorbanan pemuda dikenali sebagai Salman itu mendapat perhatian pertubuhan Food For Gelandangan (FFG) yang turun menyantuni keluarganya menerusi inisiatif Ziarah Kasih.

Difahamkan, kakak Salman dimasukkan ke hospital pada 3 Oktober lalu dan menjalani rawatan selama dua minggu.

“Sepanjang tempoh tersebut, Salman terpaksa mengetepikan pekerjaannya demi menjaga kakaknya, sekali gus kehilangan sumber pendapatan harian. Keadaan ini menambahkan beban keluarga yang sememangnya sedang berdepan kesukaran hidup,”menurut kenyataan FFG.

Sementara itu, Ketua Media FFG, Shah berharap kisah Salman dapat membuka mata masyarakat mengenai kesukaran yang dilalui golongan memerlukan, termasuk mereka yang terpaksa mengorbankan sumber rezeki demi tanggungjawab keluarga.

Beliau turut berharap lebih ramai individu, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pendidikan tampil berganding bahu menghulurkan bantuan kepada keluarga yang berdepan kesempitan hidup.

Bagi FFG, usaha membantu golongan memerlukan bukan sekadar memberikan sumbangan kewangan atau barangan keperluan, sebaliknya turut menuntut keprihatinan untuk mendengar dan memahami masalah yang dihadapi mereka.

“Kemanusiaan bukan sekadar tentang memberi, tetapi tentang hadir ketika diperlukan agar tiada insan terpaksa menghadapi kesusahan hidup bersendirian,” menurutnya.

Dalam perkembangan sama, FFG kini memperluaskan gerak kerja kebajikannya menerusi Ziarah Kasih dengan mengunjungi kediaman keluarga memerlukan bagi mengenal pasti keadaan dan keperluan mereka secara lebih dekat.

Inisiatif itu merupakan kesinambungan misi pertubuhan berkenaan yang selama ini aktif menyantuni golongan gelandangan, asnaf serta masyarakat memerlukan pada setiap Jumaat malam.

FFG turut menyatakan komitmen untuk meneruskan aktiviti kebajikan tersebut di samping memperluaskan kunjungan Ziarah Kasih kepada lebih ramai keluarga yang memerlukan bantuan dan perhatian.

Scroll to Top