Penyelesaian isu Rohingya perlukan tindakan nyata Myanmar

Penyelesaian isu Rohingya perlukan tindakan nyata Myanmar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tanggungjawab untuk menyelesaikan isu Rohingya tidak harus dipikul oleh Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen dan tindakan nyata dari Myanmar bagi menangani punca krisis ke arah penyelesaian berkekalan di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia akan terus memainkan peranan melalui usaha diplomatik dan kerjasama kemanusiaan bagi menyokong matlamat berkenaan dan ia perlu disertai sokongan berterusan ASEAN serta masyarakat antarabangsa.

Menurutnya, isu penghantaran pulang Rohingya hanya dapat diselesaikan dengan menangani punca utama krisis di Myanmar.

Justeru katanya, Malaysia terus melaksanakan pelbagai usaha diplomatik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa bagi mewujudkan keadaan yang membolehkan etnik Rohingya pulang ke Myanmar secara selamat, sukarela, bermaruah serta mampan.

“Di peringkat dua hala, Malaysia terus berinteraksi dengan pihak Myanmar bagi menggalakkan langkah yang menyokong kepulangan etnik Rohingya ke Myanmar.

“Penekanan turut diberikan kepada jaminan hak, perlindungan dan peluang yang saksama supaya mereka dapat membina semula kehidupan di tempat asal tanpa diskriminasi atau pengecualian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai jaminan dan mekanisme diplomatik bersama kerajaan Myanmar bagi memastikan penghantaran pulang pelarian Rohingya dilaksanakan secara selamat, sukarela dan bermaruah, selain langkah susulan kerajaan melalui ASEAN bagi menangani punca krisis supaya tidak berulang dan membebankan negara penerima.

Mohamad, berkata di peringkat serantau, ASEAN sehingga kini terus berpegang kepada Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) sebagai kerangka utama dalam menangani krisis di Myanmar.

Penekanan diberikan kepada tiga komponen 5PC, iaitu usaha menghentikan keganasan, memperluas akses bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi dan menggalakkan dialog inklusif bersama semua pemegang taruh Myanmar.

Mohamad memaklumkan Utusan Khas Pengerusi ASEAN Mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim masih meneruskan usaha untuk mendorong pelaksanaan 5PC secara bermakna, sekali gus memastikan kesinambungan usaha ASEAN sejak 2021 ke arah penyelesaian yang praktikal dan berkekalan terhadap krisis itu.

Sebagai langkah seterusnya, beliau berkata, ASEAN juga sedang mengenal pasti inisiatif tambahan bagi melengkapi usaha sedia ada, dengan objektif ia mendapat penerimaan dan kerjasama Myanmar untuk memulihkan keamanan dan kestabilan negara itu.

“Dalam aspek kemanusiaan pula, Malaysia turut menyokong usaha ASEAN melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (AHA) bagi membantu penduduk Myanmar yang terjejas akibat konflik.

“Pusat AHA menyelaras penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi melalui kerjasama dengan pihak berkaitan di Myanmar dan apabila diperlukan, melalui usaha rentas sempadan.

“ASEAN turut bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan antarabangsa lain bagi memperluas jangkauan bantuan serta memastikan ia sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top