BERSATU punca PN dibatalkan – Takiyuddin

BERSATU punca PN dibatalkan – Takiyuddin

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) mendakwa BERSATU menjadi punca gabungan parti itu dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ini kerana BERSATU sentiasa bersikap tikam belakang.

Pada masa sama, Takiyuddin tidak menolak kemungkinan pimpinan BERSATU mempunyai hubungan baik dengan RoS selain dengan pimpinan kerajaan sekarang menyebabkan RoS memihak kepada mereka.

“BERSATU menyebabkan PN dibatalkan kerana parti itu sentiasa menikam belakang.

“Bila berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, BERSATU mahu bertanding sebanyak mungkin kerusi dengan menggunakan logo PN dan kita beri, namun semua kerusi yang bertanding itu kalah.

“Bagaimanapun sebaik menjelang PRN Negeri Sembilan pula, BN berikan 11 kerusi kepada PN dan kita berbincang untuk pengagihan kerusi termasuk untuk diberikan kepada BERSATU.

“Namun parti itu sentiasa bergolak dan sehari sebelum mesyuarat dilakukan, Presiden BERSATU Tan Sri

Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu akan bertanding 24 kerusi dengan menggunakan logo parti mereka, bukannya PN.

“Jadi, apa mungkin kita masih memanggil mereka untuk mesyuarat sedangkan beliau sudah memaklumkan untuk bertanding tanpa menggunakan logo PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Jelajah Himpunan & Munajat Panyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, susulan itu, pimpinan BERSATU membuat laporan kepada RoS berhubung PN melanggar Perlembagaan PN apabila menafikan hak BERSATU untuk menghadiri mesyuarat tertinggi.

“Maka pada hari ini jam 8 pagi tadi, saya menerima satu notis perintah yang memaklumkan PN dibatalkan pendaftaran,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, RoS mengesahkan membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.

Notis terdahulu bertarikh 22 September lalu dikeluarkan kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi memberi peluang kepada parti itu mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.

Sebelum ini, RoS pada 23 September lalu, mengesahkan semua kegiatan PN digantung mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) susulan notis dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top