sukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Skuad remaja negara bangkit menewaskan Jepun 4-2 dalam aksi penuh dramatik di Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini, sebentar tadi.
Anak buah Nor Saiful Zaini Nasirrudin mengasak seawal minit keempat suku pertama, tetapi pemain Jepun masih bernasib baik.
Malah, Jepun yang dikendalikan Yoshihiro Anai melakukan serangan balas dan berada di depan pada minit ke-19 suku kedua apabila Matsuki Mori melakukan pukulan kilas menewaskan penjaga gol negara, Adib Amsyar Mohammad Hanif.
Ketika aksi suku kedua berbaki dua minit, Young Tigers menyamakan kedudukan menerusi penalti stroke yang disempurnakan Mohd Hafiezuddin Mohd Ali.
Namun, Jepun meraih gol kedua apabila bola tolakan Shogo Sasaki disempurnakan Rintaro Sakai menerusi pukulan kilas yang menewaskan Adib Amsyar, menjadikan kedudukan 2-1.
Young Tigers terlepas peluang menyamakan jaringan menerusi tiga pukulan sudut penalti berturut-turut pada minit ke-46, manakala gol padang Gagandeep Singh dibatalkan pengadil dari Hong Kong, Chor Ming Yeung selepas mengesan bola pukulan kilas yang dilakukan berbahaya.
Namun, kesungguhan skuad negara berbaloi apabila mendahului 3-2 hasil dua gol padang dijaringkan Aferull Syah pada minit ke-51 dan T Naavesennash Panicker pada minit ke-56.
Young Tigers bagaikan ‘naik hantu’ apabila mengasak bertubi-tubi dan menyempurnakan pukulan sudut penalti menerusi G Dheeressh untuk kedudukan 4-2, sekali gus melengkapkan kemenangan kedua berturut-turut dan melonjak ke tangga kedua kumpulan di belakang Pakistan.
Sementara itu, dalam perlawanan lain Kanada meraih kemenangan pertama selepas menewaskan China 3-2.
© New Straits Times Press (M) Bhd




