Harapan berakhir tragis

Harapan berakhir tragis

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kematian remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin selepas 10 hari dilaporkan hilang dan ditemui tidak jauh dari resort penginapan keluarganya memberikan 1,001 pengalaman buat wartawan Harian Metro, Raja Noraina Raja Rahim, 42, sepanjang bertugas menjadi pengamal media.

Mengimbau kejadian yang berlaku, Raja Noraina berkata, pihak media mendapat maklumat kehilangan remaja istimewa berumur 15 tahun itu pada 4 Ogos 2019.

“Masa itu kami sangka kehilangan biasa dan akan dijumpai semula, tetapi keesokannya, polis memulakan misi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan resort di Pantai, Negeri Sembilan yang merupakan lokasi kali terakhir Nora Anne berada bersama keluarga.

“Saya dan media lain mula berkumpul di lokasi kejadian dan cuba untuk mendapatkan ibu bapa mangsa, namun tidak berhasil disebabkan mereka belum bersedia untuk berjumpa.

“Media kemudian bergerak ke pusat gerakan SAR yang diaktifkan di Balai Polis Pantai dan satu sidang media diadakan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan,” katanya.

Raja Noraina berkata, tugasan pada hari itu juga berlanjutan sehingga lewat malam dan pihaknya beransur pulang sebaik sahaja operasi SAR ditamatkan disebabkan faktor cuaca gelap.

Katanya, operasi SAR kemudian disambung keesokan hari dengan kumpulan pencarian diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibantu pasukan Unit Udara PDRM, K9, Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Komando VAT 69, Unit Senoi Praaq selain penduduk kampung dan peralatan dron.

“Media berkumpul seawal pagi setiap hari di lokasi dan dapat melihat pasukan pencarian keluar masuk silih berganti tanpa henti sehingga lewat malam,” katanya.

Raja Noraina berkata, dia juga dapat menemu bual penduduk kampung dan saksi awal yang mengetahui kehilangan Nora Anne.

“Sidang media oleh PDRM turut diadakan secara harian untuk mengemas kini perkembangan semasa operasi. Selepas beberapa hari media berkumpul di tapak lokasi, akhirnya ibu bapa Nora Anne bersedia untuk ditemu bual media.

“Mereka nampak kepenatan dan sedih serta berharap anak mereka ditemui semula dengan selamat,” katanya.

Menurutnya, antara pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas di tugasan itu ialah apabila media diajak menyertai operasi pencarian remaja perempuan berkenaan.

“Kami boleh nampak sendiri bagaimana pasukan penyelamat membuat pencarian di sekitar resort, masuk dalam kawasan hutan, tepi sungai dan kampung Orang Asli.

“Ada media seperti rakan setugas saya yang dapat mengikuti misi pencarian ini sehingga lewat malam. Pada masa ini juga, ada beberapa individu mendakwa sebagai ‘bomoh’ yang kononnya tahu di mana Nora Anne menyertai sekali misi pencarian,” katanya.

Menurutnya, antara pengalaman lain adalah apabila terpaksa bertugas ketika Aidiladha, iaitu pada hari ketujuh pencarian Nora Anne.

“Walaupun sudah lebih seminggu kehilangan Nora Anne dengan harapan untuk menjumpai mangsa semakin tipis, tetapi operasi SAR tetap diteruskan dan pasukan penyelamat dilihat tidak putus asa serta bersemangat meneruskan pencarian.

“Namun, yang menyedihkan apabila Nora Anne ditemui pada hari ke-10 pencarian dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat Nora Anne terus dibedah siasat pada malam itu juga dan dituntut keluarga pada awal pagi esoknya,” katanya.

Dilaporkan, percutian Nora Anne sekeluarga di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragik apabila mayatnya dijumpai tidak jauh dari resort penginapan.

Nora Anne dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos 2019, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort.

Mayat remaja itu ditemukan selepas 10 hari dilapor hilang oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi SAR berhampiran anak sungai di kawasan lurah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top