Terus cipta sejarah menyerlahkan seni warisan tradisional negara

Terus cipta sejarah menyerlahkan seni warisan tradisional negara

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan irama tradisional mempunyai tempat istimewa di hati pencinta muzik tanah air menerusi penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara.

Konsert mega yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu berjaya menghimpunkan kira-kira 73,000 penonton yang membanjiri stadium ikonik berkenaan.

Menerusi persembahan berdurasi lebih tiga jam terbabit, Siti Nurhaliza mempersembahkan lagu popular irama tradisional yang pernah melonjakkan namanya, selain memperkenalkan karya-karya terbaharu menerusi album Gema Bumantara.

Beliau turut meluahkan rasa terharu dan bangga atas sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh peminat terhadap seni warisan bangsa.

“Yang membanggakan, kita berjumpa lagi selepas sembilan bulan. Saya tersentuh. Kehadiran anda semua menjadi bukti bahawa anda menyokong lagu berirama tradisional. Terima kasih.

“Sebenarnya, di akhir Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, saya ada katakan ‘kita jumpa lagi di konsert tradisional’. Sejujurnya, masa itu saya hanya main cakap sahaja.

“Tetapi, disebabkan ada keinginan yang tinggi dan ini satu impian yang saya tidak tahu bila lagi dapat lakukan, akhirnya ia menjadi kenyataan di dalam stadium yang boleh mengisi 73,000 penonton ini,” katanya.

Siti Nurhaliza berkata, konsert berkenaan menawarkan keunikan tersendiri menerusi gabungan elemen moden dan tradisional yang diterjemahkan melalui persembahan Leman Band bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Antara detik menarik malam berkenaan termasuklah kelainan yang ditampilkan menerusi lagu Walinongsari, apabila menantu Siti Nurhaliza yang juga pelakon Izara Aishah tampil menari, manakala beliau sendiri menunjukkan bakat mengendalikan wayang kulit di atas pentas.

“Izara menari untuk lagu Walinongsari, iaitu seorang puteri yang terkenal dari Pahang. Saya juga belajar bermain wayang kulit walau tidak lama, cuma dua hingga tiga hari bersama Encik Kamarul yang mengajar cara mengendalikannya.

“Jadi, ini satu pengalaman baharu buat saya. Saya merasakan budaya kita sangat hebat untuk dipersembahkan dan ia sungguh luar biasa,” katanya.

Mengimbau kembali detik awal pembabitannya dalam genre berkenaan, Siti Nurhaliza mendedahkan dia mula merakamkan lagu tradisional seawal usia 18 tahun hasil dorongan ibunya, Siti Salmah Bachik atau Mak Salmah.

“Waktu itu saya berumur 18 tahun pada era 90-an dan banyak mendengar lagu rock. Namun, apabila emak ingatkan supaya merakam lagu tradisional Seri Mersing, saya pun rakam.

“Kalau emak tidak ingatkan, mungkin saya tidak akan merakam album tradisional,” katanya.

Konsert ini turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudi hadir menyaksikan malam penuh bersejarah terbabit.

Pentas Gema Bumantara turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis jemputan tempatan dan antarabangsa seperti Haziq Rosebi, King Nassar, Lesti Kejora serta Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris.

Siti Nurhaliza memberitahu, pemilihan King Nassar dan Lesti Kejora adalah sebagai penghormatan kepada Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah yang banyak mendidik mereka.

Siti Nurhaliza dan King Nassar mempersembahkan lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling pilihan King Nassar sendiri, manakala Lesti pula pernah menyampaikan lagu Zapin Melayu ciptaan arwah.

Sementara itu, King Nassar meluahkan rasa bangga dapat berkongsi pentas bersama Siti Nurhaliza, manakala Lesti menganggap jemputan berkenaan sebagai satu penghormatan besar buat dirinya dan keluarga.

“Saya sangat berterima kasih dan bangga kerana Datuk Seri (Siti Nurhaliza) sudi menjemput saya menjadi sebahagian daripada keluarga Gema Bumantara.

“Kalau tidak salah, 10 tahun lalu saya menonton konsert beliau di Indonesia bersama bapa, tetapi kali ini saya diberi kepercayaan berada di pentas besar ini ditemani suami dan anak-anak,” kata Lesti.

Suasana konsert menjadi semakin gamat apabila Noraniza Idris atau Kak Ani muncul di pentas bagi menyampaikan lagu hits popular, Dondang Dendang dan Hati Kama, sekali gus mengubat kerinduan peminat selepas 26 tahun tidak beraksi bersama di panggung mega.

“Lama kan kita tidak menyanyi bersama? Sudah 26 tahun. Sebelum ini waktu tidak memberi kesempatan, tetapi kali ini adalah yang terbaik.

“Ingat tak Kak Ani, kita pernah menyanyi lagu Dondang Dendang di atas rebana besar di stadium ini sewaktu SUKOM 1998?” soal Siti Nurhaliza kepada Noraniza.

Noraniza turut menitipkan pesan agar Siti Nurhaliza terus mempertahankan legasi seni tradisi agar tidak hilang ditelan zaman.

“Siti, jangan berhenti. Teruskan legasi Irama Malaysia kita untuk generasi seterusnya. Jangan berhenti,” kata Noraniza.

Konsert Tradisional Gema Bumantara bukan sahaja meninggalkan kesan kepada Siti Nurhaliza, bahkan seluruh kelompok peminatnya dari serata pelosok negara dan juga negara jiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top