Perlis rancang perketat syarat poligami – EXCO

Perlis rancang perketat syarat poligami – EXCO

Songkhla: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merancang memperketat syarat kepada lelaki yang ingin berpoligami bagi memastikan pernikahan itu memberi manfaat kepada semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Izizam Ibrahim Adi berkata, antara syarat itu adalah kemampuan daripada segi pemberian nafkah kepada semua isteri.

Beliau mengakui urusan pernikahan kepada mereka yang ingin berpoligami adalah lebih mudah di Perlis berbanding negeri-negeri lain yang mengenakan syarat ketat termasuk memperoleh kebenaran isteri pertama.

“Untuk nikah di Perlis mudah kerana kami ada fatwa mengenai pemastautin. Sesiapa saja yang boleh membuktikan tinggal melebihi lima hari di negeri ini, akan dianggap pemastautin.

“Jika dapat mengemukakan bukti, seperti bil sewa rumah atau inap desa melebihi lima hari mereka akan diiktiraf sebagai pemastautin dan layak mendapat layanan sama seperti rakyat Perlis dari segi undang-undang Islam dan fatwa,” katanya selepas mesyuarat bersama MAIPs dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, di sini, semalam.

Mesyuarat itu turut dihadiri Konsul 1 Malaysia di Songkhla, Muhamad Danial Atif Nasiren; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.

Izizam berkata, walaupun berpoligami di Perlis tidak memerlukan kebenaran isteri pertama, JAIPs tetap memaklumkan kepada pasangan pertama bahawa suaminya sudah berkahwin lagi.

Mengenai tindakan pasangan Malaysia yang berkahwin di Selatan Thai tanpa dokumen perjalanan sah, beliau menjelaskan setakat ini, pasangan yang memohon pengesahan pernikahan di Perlis mematuhi peraturan ditetapkan.

“Setakat ini tiada pasangan dari negeri itu yang bernikah di Selatan Thai gagal memperoleh surat pengesahan perkahwinan dari Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top