kamarulzaidi@bh.com.my
Kuala Lumpur: Isi rumah yang sebelum ini berada dalam kumpulan berpendapatan sederhana (M40) boleh mengemas kini maklumat dan memohon semakan semula kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) jika kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kemudahan itu membolehkan perubahan pendapatan isi rumah diambil kira, namun bukan bermakna semua isi rumah M40 layak menerima STR secara automatik.
“Bagi pemberian STR, jika isi rumah M40 mengalami kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan, kerajaan menyediakan mekanisme pengemaskinian maklumat dan semakan semula atau rayuan bagi membolehkan perubahan pendapatan isi rumah diambil kira dalam penentuan kelayakan,” katanya kepada Kumpulan Media Prima.
Penjelasan itu menyusuli jawapan Chin Tong di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa saluran rayuan bantuan kerajaan sentiasa terbuka kepada individu yang mengalami perubahan keadaan kewangan.
“Walaupun dalam keadaan pengangguran, sebenarnya rayuan dibuka setiap hari dan setiap penerima bantuan boleh membuat rayuan kalau status sedia ada telah berubah,” katanya.
Menurut Chin Tong, permohonan semakan semula boleh dibuat sepanjang tahun selepas keputusan permohonan dipaparkan.
Mekanisme itu memberi peluang kepada isi rumah yang baru kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan untuk dinilai berdasarkan kedudukan kewangan semasa.
Permohonan rayuan STR secara dalam talian boleh dibuat melalui Portal Rasmi STR dengan log masuk ke MySTR sebelum memilih menu Borang Rayuan.
Pemohon dinasihatkan hanya menggunakan portal rasmi bagi mengelakkan pautan palsu dan cubaan penipuan.
Permohonan yang tidak diluluskan atas alasan pendapatan turut diproses semula secara automatik pada fasa pembayaran berikutnya berdasarkan semakan silang data agensi yang dilantik Kementerian Kewangan, walaupun pemohon tidak mengemukakan rayuan.
“Permohonan yang tidak lulus atas alasan pendapatan akan diproses semula secara automatik pada fasa berikutnya berdasarkan semakan silang data agensi,” kata Chin Tong.
Beliau berkata, penerima STR yang mengalami pengurangan pendapatan, termasuk akibat pasangan berhenti kerja, juga boleh mengemukakan Rayuan Tambahan supaya kedudukan kewangan terkini isi rumah dipertimbangkan.
“Bagi semakan berkaitan pendapatan, pemohon tidak perlu mengemukakan dokumen pembuktian kerana pengesahan dibuat secara terus dengan agensi berkaitan,” katanya.
Bagaimanapun, kedudukan sebagai M40 semata-mata bukan jaminan kelulusan STR kerana keputusan masih bergantung pada pendapatan isi rumah terkini, syarat kelayakan semasa dan hasil semakan silang kerajaan.
Mekanisme rayuan berfungsi sebagai saluran penilaian semula apabila rekod terdahulu tidak lagi menggambarkan kemampuan kewangan sebenar pemohon.
Dalam perkembangan berkaitan, Chin Tong berkata, kerajaan turut mendengar keresahan golongan M40 yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Antara langkah diumumkan menerusi Belanjawan 2027 ialah pemberian SARA MADANI sebanyak RM100 pada dua waktu berasingan kepada rakyat berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR.
Bantuan yang dijadualkan sebelum Aidilfitri dan sempena sambutan 70 tahun kemerdekaan itu dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat, termasuk golongan M40.
Kerajaan turut menaikkan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan.
Pengurangan kadar itu membabitkan pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM100,000 dan RM100,001 hingga RM150,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd




