Pentadbiran negeri berjalan seperti biasa: Speaker DUN Perlis

Pentadbiran negeri berjalan seperti biasa: Speaker DUN Perlis

KANGAR: Pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa disebalik isu penggantungan jawatan Abu Bakar Hamzah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan berkata, beliau tidak dapat memberikan maklum balas lanjut berhubung perkara itu memandangkan kedudukan Abu Bakar sebagai Menteri Besar juga adalah bergantung kepada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di negeri ini.

Beliau juga masih belum menerima sebarang pemakluman daripada mana-mana pihak buat masa ini berhubung perkembangan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walau bagaimanapun, masih ada dua minggu untuk dia (Abu Bakar) merayu keputusan penggantungan parti itu dan mungkin ada keputusanlah yang akan dibuat selepas itu,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Abu Bakar digantung keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu.

Penggantungan tersebut disahkan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim yang memaklumkan surat berhubung tindakan berkenaan sudah dikeluarkan minggu lalu.

Surat bertarikh 14 Oktober 2026 itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan dan memaklumkan keputusan penggantungan itu.

Susulan keputusan itu, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.

Bagaimanapun, notis itu menyatakan Abu Bakar masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan untuk membela diri dan mendapatkan pertimbangan lanjut.-UTUSAN

Scroll to Top