am@hmetro.com.my
Kangar: Pentadbiran Kerajaan Perlis masih berjalan seperti biasa ketika ini, walaupun Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berhadapan isu penggantungan keahlian BERSATU selama dua penggal.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan berkata, pihaknya tidak dapat memberikan maklum balas lanjut memandangkan kedudukan Abu Bakar kini bergantung sepenuhnya kepada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di negeri itu.
Katanya, beliau juga masih belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak berhubung perkembangan isu berkenaan buat masa ini.
“Walau macam mana keadaan pun, ada dua minggu untuk beliau (Abu Bakar) merayu (kepada Lembaga Rayuan BERSATU).
“Selepas itu, mungkin ada keputusan yang akan mereka buat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Abu Bakar digantung keahlian BERSATU selama dua penggal berkuat kuasa 13 Oktober lalu.
Penggantungan itu disahkan Pengerusi BERSATU Perlis, Izizam Ibrahim yang memaklumkan surat berhubung tindakan berkenaan sudah dikeluarkan sejak minggu lalu dan Menteri Besar juga sudah mengetahui perkara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




