Melbourne: Kedua-dua belah kaki Ahli Parlimen Australia, Helen Haines terpaksa potong selepas beliau dilanggar oleh sebuah kenderaan di luar pejabat kawasannya awal minggu ini, lapor Agensi Berita Jerpan (dpa).
Pemandu kenderaan tersebut telah dihadapkan ke mahkamah.
Doktor pada mulanya berharap dapat menyelamatkan kaki kanannya namun pakar bedah akhirnya tidak dapat mengelak daripada memotong kedua-dua belah kaki, kata suaminya, Phil, pada Rabu.
“Namun, berita baik di sebalik semua ini ialah Helen masih hidup dan keadaannya stabil. Itulah perkara paling penting bagi keluarga kami,” katanya kepada pemberita.
Haines, seorang Ahli Parlimen bebas yang popular dan mewakili kawasan Indi di Parlimen Australia, telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di luar pejabatnya di Wangaratta, timur laut Melbourne pada Isnin.
Menurut pihak berkuasa, pemandu terbabit sengaja mengemudi kenderaannya ke arah wanita berusia 65 tahun itu.
Menteri Dalam Negeri Tony Burke berkata, pemandu itu kemudian mengundurkan kenderaannya dan melanggar Haines sekali lagi.
Pemandu berusia 43 tahun itu ditangkap di tempat kejadian dan pihak penyiasat merampas sebilah pisau daripadanya.
Haines diterbangkan ke sebuah hospital di Melbourne dengan kecederaan parah pada bahagian bawah badannya dan telah menjalani pembedahan kecemasan.
Perdana Menteri Anthony Albanese menegaskan sejurus selepas kejadian itu: “Ini bukan satu kemalangan.”
Pemandu tersebut dihadapkan ke mahkamah di Wangaratta pada Rabu atas beberapa pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan serius dengan sengaja mendatangkan kecederaan tubuh yang serius serta mendatangkan kecederaan terhadap seorang penjawat awam.
Dia juga berdepan pertuduhan berkaitan dadah.
Tertuduh tidak memohon jaminan dan kekal dalam tahanan. Sebutan kesnya yang seterusnya dijadualkan pada Februari.
Pihak penyiasat tidak menolak kemungkinan adanya pertuduhan tambahan dan motif kejadian masih belum jelas.
Keluarga pemandu itu memberitahu penyiar awam ABC bahawa mereka telah berkawan dengan Haines selama lebih 20 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




