ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Perancis selepas menewaskan pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying, di Arena Grand Paris, sebentar tadi.
Pang Ron-Pei Jing mengambil masa 46 minit untuk bangkit selepas tewas set pertama sebelum mencatat kemenangan 14-21, 21-15, 21-15 ke atas pasangan di ranking ke-26 dunia itu.
Kemenangan itu membolehkan pasangan ranking ke-31 dunia itu meneruskan cabaran dalam kejohanan bertaraf Super 750 berkenaan.
Pada pusingan kedua, Pang Ron-Pei Jing dijadualkan bertemu pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui, yang mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan kelima dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Kuang Heng-Yin Hui bangkit selepas tewas set pertama untuk mencatat kemenangan 13-21, 24-22, 22-20 dalam pertarungan tiga set itu.
Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, gagal meneruskan kemaraan apabila tewas kepada pasangan Jerman, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen.
Pasangan suami isteri itu memenangi set pertama 21-17, namun gagal mengekalkan momentum sebelum akur dengan kekalahan 15-21, 20-22 dalam perlawanan yang berlangsung sengit itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




