yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Isu berhubung status dan kedudukan blok pembangkang membabitkan wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN), akan ditentukan selepas perihal pembatalan pendaftaran gabungan itu dijelaskan kepada Parlimen.
Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas pertikaian mengenai perkara berkenaan dibangkitkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) ketika mencelah perbahasan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat malam ini.
Johari berkata, ketetapan mengenai perkara itu masih belum boleh dimuktamadkan, sementara menunggu penjelasan daripada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Tiada petua apa-apa pun (mengenai status dan kedudukan ahli Dewan Rakyat daripada PN). Saya pun sudah menulis kepada Pengerusi PN (Ahmad Samsuri).
“Insya-Allah apabila saya dapat penjelasan daripada Pengerusi (PN), saya akan maklumkan kepada Dewan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Sany mencelah ketika Kamal membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2027, dengan mempersoalkan kewajaran penggunaan PN selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu, semalam.
“Saya mahu minta petua daripada Tan Sri Speaker (Johari).
“Ketika Kuala Krau berbahas, masih tulis Kuala Krau – PN sedangkan semalam ada arahan sangat jelas daripada RoS membatalkan pendaftaran PN,” katanya.
Ia turut disokong RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mahu penggunaan PN digugurkan atas alasan sama.
Rayer yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang berkata, beliau menyokong permintaan Mohd Sany supaya perkara ini diperbetulkan.
“Sekurang-kurangnya tulis PAS, WAWASAN (Parti Wawasan Negara) atau BERSATU. Sebab kita hendak pilihan raya di Melaka… memang sudah diharamkan atau dibatalkan (pendaftaran PN). Sepatutnya bukan PN tetapi PAS, WAWASAN atau BERSATU,” katanya,.
Semalam, RoS dilapor membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan RoS dibuat mengikut sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta 832 selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN, pada 12 Oktober lalu.
Rentetan itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam maklum balasnya berkata, gabungan terbabit akan mencabar keputusan RoS, selain turut mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.
Tindakan itu akan dimulakan dengan prosedur memasukkan permohonan pada sesi pendengaran permohonan PN untuk menggantung notis terdahulu RoS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




