462 pelajar Malaysia di Perancis tidak terjejas akibat rusuhan – KPT

462 pelajar Malaysia di Perancis tidak terjejas akibat rusuhan – KPT

PUTRAJAYA: Seramai 462 orang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Perancis tidak terlibat atau terjejas secara langsung akibat demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di beberapa bandar utama, termasuk Paris.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, aktiviti pengajian diteruskan seperti biasa dengan institusi di kawasan terjejas melaksanakan pembelajaran dalam talian.

Katanya, pelajar Malaysia di Perancis dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan terjejas, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengikuti makluman rasmi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelajar Malaysia di negara-negara Eropah turut dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke Perancis sehingga keadaan kembali terkawal.

“KPT akan terus memantau perkembangan semasa dan bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar Malaysia terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

KPT melalui Pejabat Atase Pendidikan Paris, dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN), Kedutaan Besar Malaysia di Paris dan agensi penaja, sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar Malaysia di Perancis terpelihara.

Katanya, ibu bapa dan keluarga diminta supaya bertenang, merujuk sumber rasmi serta memastikan pelajar mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh Pejabat Atase Pendidikan Paris dan Kedutaan Besar Malaysia di Paris.

“Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi [email protected] dan [email protected],” katanya. – UTUSAN

 

 

 

 

 

Scroll to Top