London: Polis Metropolitan London akan menggunakan teknologi pengecaman wajah secara langsung dalam operasi keselamatan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris antara Chelsea dan Tottenham Hotspur di Stamford Bridge, Ahad ini.
Perkara itu dimaklumkan Chelsea Supporters’ Trust (CST) menerusi kenyataan di platform X, selepas menerima makluman daripada pihak polis mengenai perancangan keselamatan bagi perlawanan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi.
CST, kumpulan penyokong yang berhubung dengan Chelsea serta pihak berkepentingan lain mengenai isu membabitkan peminat, berkata teknologi berkenaan akan digunakan di kawasan Earl’s Court dan West Brompton.
Menurut kumpulan itu, polis akan mengerahkan dua van dalam tempoh tertentu sebelum perlawanan bagi melaksanakan operasi pengecaman wajah.
Senarai pemantauan akan merangkumi individu yang dikenakan perintah larangan menghadiri perlawanan bola sepak dan mempunyai kaitan dengan kedua-dua kelab, selain individu yang dikehendaki atas kesalahan serius, orang hilang serta mereka yang dicari berdasarkan waran yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Mahkamah dan Tribunal Diraja (HM Courts & Tribunals Service).
© New Straits Times Press (M) Bhd




