Tiada klinik kesihatan ditutup walau kekurangan tenaga kerja

Tiada klinik kesihatan ditutup walau kekurangan tenaga kerja

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada klinik kesihatan ditutup atau mengalami gangguan perkhidmatan rawatan luar walaupun berlaku kekurangan pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, operasi rawatan di semua klinik kesihatan berjalan seperti biasa untuk bagi memastikan memastikan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat prosedur tertentu yang memerlukan penjadualan awal seperti prosedur funduskopi, berikutan kekangan tenaga kerja yang mahir dalam bidang itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui bahawa ketersediaan dan kecukupan tenaga kerja, khususnya pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat adalah antara faktor penting yang mempengaruhi kapasiti penyampaian perkhidmatan di klinik kesihatan.

“Walaupun terdapat fasiliti yang mengalami kekurangan anggota, penyampaian perkhidmatan tetap dilaksanakan tanpa gangguan melalui penyusunan semula sumber sedia ada serta sokongan liputan daripada klinik lain, khususnya pegawai perubatan.

“Pengaturan slot janji temu juga diselaraskan berdasarkan kapasiti sebenar petugas bagi memastikan kesinambungan dan kecekapan perkhidmatan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen, malam tadi.

Beliau menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai sejauh manakah kekurangan kritikal tenaga kerja kejurawatan dan pegawai perubatan menyumbang kepada gangguan operasi serta penutupan sementara sebahagian perkhidmatan rawatan luar di klinik kesihatan daerah ketika ini.

Mengenai penutupan sementara klinik kesihatan, beliau berkata, ia dilaksanakan bagi kerja naik taraf atau penyelenggaraan fasiliti.

“Pengalihan sementara perkhidmatan ke fasiliti kesihatan berdekatan dilaksanakan secara terancang bagi memastikan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

Dr Dzulkefly berkata, KKM sentiasa memantau keperluan dan pengisian tenaga kerja di klinik kesihatan bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan primer.

Katanya, KKM sedang melaksanakan Reformasi Penjagaan Kesihatan Primer Kebangsaan yang memberi penekanan kepada pengukuhan akses dan ekuiti perkhidmatan kesihatan.

“Bagi tujuan ini, KKM sedang membuat pemetaan perkhidmatan yang dilaksanakan di fasiliti kesihatan primer dan menjalankan kajian bagi melihat jurang tenaga kerja kesihatan, seterusnya menambah baik wajaran perjawatan di fasiliti kesihatan primer,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top