hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun 30 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter, berkuat kuasa esok hingga 28 Oktober ini.
Ia mejadikan harga runcit RON97 adalah RM4.80 seliter, RON95 (RM4.32) dan diesel (RM5.07).
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 (RM408.20) setong, harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menyederhana dalam tempoh pengiraan Automatic Pricing Mechanism (APM).
Kenyataan itu berkata, penyusutan harga berkenaan didorong jangkaan peningkatan bekalan dari China dan disokong pengeluaran berterusan dari negara Asia lain.
“Paras harga minyak mentah yang kekal tinggi mencerminkan risiko gangguan bekalan susulan konflik geopolitik berterusan.
“Dalam jangka sederhana, harga petroleum dunia dijangka terus tidak menentu,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global itu.
Ia berkata, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, kerajaan dijangka membelanjakan RM40 bilion bagi subsidi bahan api pada tahun hadapan, dan ia bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi serta menjamin kelangsungan mata pencarian rakyat.
Katanya, pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.32 seliter.
“Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.33 seliter, bersamaan 54 peratus daripada harga tanpa subsidi.
“Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.07 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM2.97 seliter, atau 59 peratus daripada harga tanpa subsidi,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, harga petroleum bersubsidi dikekalkan adalah RON95 (BUDI95) iaitu RM1.99 seliter, Diesel (BUDI Diesel) (RM2.10 seliter), Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) (RM2.05 seliter) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), (RM2.15 seliter).
Katanya, melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




