Video tular pergaduhan sekolah di Bentong berlaku pada Jun, kes diklasifikasikan NFA

Video tular pergaduhan sekolah di Bentong berlaku pada Jun, kes diklasifikasikan NFA

alagesh@nst.com.my

Bentong: Video tular yang menunjukkan pelajar bergaduh di luar sebuah sekolah di sini, disahkan berlaku pada Jun lalu, dan sudah diklasifikasikan oleh polis sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Azmi Mahmod berkata, klip video berdurasi 31 saat itu kembali tular di Facebook semalam, menunjukkan beberapa pelajar dan orang dewasa terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

“Kejadian berlaku pada 16 Jun lalu selepas bapa mangsa membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya dipukul dan diugut oleh dua remaja di hadapan sebuah sekolah.

“Polis menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun pada hari sama. Mereka direman selama dua hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 18 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana menakutkan secara jenayah.

Beliau berkata, kertas siasatan diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 15 Julai, dan kes itu kemudian diklasifikasikan sebagai NFA selepas mengambil kira perkembangan siasatan, termasuk keputusan pengadu untuk menarik balik laporan dan tidak meneruskan kes.

“Polis menjalankan siasatan secara telus mengikut prosedur yang ditetapkan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Kami mengambil serius insiden yang membabitkan keselamatan dan kebajikan pelajar sekolah.

“Kami menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat kenyataan berhubung video itu yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top