Benteng hadapi ancaman New Age & kebatinan menyeleweng

Benteng hadapi ancaman New Age & kebatinan menyeleweng

DALAM dunia yang semakin terbuka dengan pelbagai aliran pemikiran dan kerohanian, umat Islam berhadapan cabaran baharu yang tidak semestinya datang dalam bentuk penolakan agama secara terang-terangan. Sebaliknya, sebahagiannya hadir dengan bahasa yang kelihatan menarik seperti tenaga spiritual, kesedaran kosmik, kebangkitan potensi diri dan penyatuan manusia dengan alam semesta.

Fenomena ini sering dikaitkan dengan New Age Movement iaitu gerakan kerohanian moden yang merangkumi pelbagai kepercayaan dan amalan. Walaupun tidak semua unsur dalam gerakan ini mempunyai ciri sama, sebahagian ajarannya boleh bercanggah dengan akidah Islam, khususnya apabila manusia dianggap memiliki kuasa ketuhanan, alam dilihat sebagai manifestasi Tuhan atau konsep ketuhanan ditafsirkan sehingga menghilangkan perbezaan antara Pencipta dengan makhluk.

Dalam konteks masyarakat Islam, cabaran seumpama ini menuntut pengukuhan ilmu akidah termasuk melalui pengajian Sifat 20 yang menjadi sebahagian daripada tradisi pengajian akidah Ahli Sunah Waljamaah.

Memahami Tuhan, bukan sekadar merasai pengalaman spiritual

Salah satu tarikan gerakan kerohanian moden ialah penekanannya terhadap pengalaman peribadi. Seseorang mungkin mendakwa memperoleh kesedaran luar biasa, berasakan kehadiran kuasa kosmik atau mencapai tahap kerohanian tertentu sehingga tidak lagi memerlukan panduan agama.

Persoalannya, adakah setiap pengalaman yang dirasakan mendalam itu semestinya benar daripada sudut akidah?

Islam tidak menafikan kepentingan penyucian jiwa, penghayatan ibadah dan pembentukan akhlak. Namun, pengalaman rohani mesti dinilai berdasarkan panduan wahyu bukannya dijadikan ukuran mutlak bagi menentukan kebenaran.

Di sinilah pengajian Sifat 20 mempunyai peranan penting. Melalui perbahasan tentang sifat Allah SWT, umat Islam dibimbing memahami kesempurnaan ketuhanan dan membezakan antara Pencipta dengan makhluk.

Antara prinsip penting yang ditekankan Allah SWT bersifat Wujud, Qidam, Baqa’, Mukhalafatuhu lil-hawadith dan Qiyamuhu binafsih. Prinsip ini membentuk asas pemahaman Allah SWT tidak menyerupai makhluk, tidak berhajat kepada sesuatu dan tidak terikat dengan sifat kekurangan.

Apabila prinsip ini difahami dengan betul, seseorang lebih bersedia menilai dakwaan yang menyamakan Tuhan dengan tenaga alam, menganggap manusia sebagai Tuhan atau menggambarkan ketuhanan sebagai sesuatu yang boleh dikuasai melalui teknik tertentu.

Sifat 20 bukan sekadar senarai sifat untuk dihafal bagi menghadapi peperiksaan agama. Pengajiannya perlu membawa kepada kefahaman yang lebih mendalam tentang keagungan Allah SWT, kehambaan manusia dan batas antara Pencipta dengan ciptaan-Nya.

Mengambil iktibar daripada Imam al-Ghazali

Sejarah Islam turut memberikan pengajaran penting melalui perjuangan intelektual Imam Abu Hamid al-Ghazali (1058–1111 Masihi) ketika berhadapan dengan aliran Batiniyyah.

Dalam karya Fada’ih al-Batiniyyah wa Fada’il al-Mustazhiriyyah, yang turut dikenali sebagai al-Mustazhirī, al-Ghazali mengkritik pendekatan Batiniyyah yang memberikan kedudukan istimewa kepada makna batin sehingga boleh mengetepikan autoriti zahir syariat dan penafsiran yang sah.

Perbahasan ini memperlihatkan cabaran akidah bukan perkara baharu. Sejak dahulu, terdapat aliran yang menggunakan hujah kerohanian, pentafsiran simbolik dan dakwaan pengetahuan khusus untuk membina autoriti keagamaan.

Namun, pengajaran daripada al-Ghazali bukanlah bahawa setiap perbahasan batin atau amalan kerohanian mesti ditolak. Sebaliknya, perkara yang perlu diteliti ialah sama ada sesuatu dakwaan itu mempunyai asas yang sah dan selari dengan al-Quran, sunnah serta prinsip akidah Islam.

Dalam kerangka ini, pengajian Sifat 20 boleh menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh kefahaman masyarakat supaya tidak mudah menerima dakwaan metafizik yang bercanggah dengan konsep ketuhanan Islam.

Bagaimanapun, Sifat 20 dan kritikan al-Ghazali terhadap Batiniyyah mempunyai skop yang berbeza. Sifat 20 membincangkan asas pengenalan terhadap Allah SWT, manakala kritikan al-Ghazali terhadap batiniyyah melibatkan persoalan autoriti agama, pentafsiran nas dan kedudukan syariat. Kedua-duanya boleh dihubungkan daripada sudut kepentingan memelihara akidah, tetapi tidak wajar disamakan secara mutlak.

Kebatinan moden perlukan penelitian ilmiah

Dalam menghadapi gerakan kerohanian kontemporari, umat Islam perlu mengelakkan dua sikap melampau. Pertama, menerima setiap dakwaan spiritual tanpa penelitian. Kedua, menghukum semua bentuk meditasi, pembangunan diri atau amalan kerohanian sebagai sesat tanpa meneliti kandungan dan kepercayaannya.

Penilaian mestilah dibuat berdasarkan ajaran sebenar yang dibawa. Sekiranya sesuatu ajaran mendakwa manusia mempunyai kuasa ketuhanan, menafikan kewujudan Allah sebagai Pencipta yang berbeza daripada makhluk atau menganggap syariat tidak lagi terpakai kepada individu yang mencapai tahap kerohanian tertentu, dakwaan sedemikian perlu diteliti secara serius berdasar prinsip akidah Islam.

Pendekatan ini memerlukan guru agama yang berkelayakan, bahan rujukan berautoriti dan penerangan mudah difahami masyarakat. Institusi pendidikan Islam juga boleh memperkenalkan perbandingan antara konsep ketuhanan dalam Islam dengan fahaman spiritual moden supaya generasi muda mampu mengenal pasti percanggahan yang wujud.

Pada masa sama, pengajian Sifat 20 perlu disampaikan secara kontekstual. Pelajar bukan sahaja menghafal istilah seperti Wahdaniyyah dan Qudrah, tetapi memahami implikasinya terhadap kepercayaan, ibadah dan kehidupan seharian.

Memperkukuh akidah untuk menghadapi zaman

Cabaran akidah hari ini tidak boleh ditangani melalui kecaman semata-mata. Masyarakat memerlukan pendidikan yang membina kefahaman, menjawab persoalan dan menerangkan mengapa sesuatu kepercayaan selari atau bercanggah dengan Islam.

Imam al-Ghazali memberikan contoh bagaimana cabaran pemikiran boleh ditangani melalui penghujahan dan penulisan ilmiah. Dalam konteks semasa, semangat tersebut boleh diteruskan dengan memperkukuh pengajian akidah, termasuk Sifat 20 serta menghubungkannya dengan persoalan yang benar-benar dihadapi masyarakat.

Akhirnya, benteng akidah bukan sekadar kemampuan mengenal nama sesuatu aliran. Benteng sebenar kefahaman yang membolehkan seseorang menilai dakwaan, membezakan antara pengalaman dengan kebenaran dan meletakkan wahyu sebagai panduan.

Dalam menghadapi kepelbagaian gerakan spiritual moden, umat Islam perlu kembali kepada asas yang kukuh: mengenal Allah SWT dengan ilmu yang benar, berpegang kepada al-Quran dan sunah serta memastikan perjalanan kerohanian sentiasa berpandukan syariat.

Penulis Pengurus Pusat Kajiah Syariah Darul Fitri

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top