Lans koperal tak mengaku samun rantai emas milik warga Myanmar

Lans koperal tak mengaku samun rantai emas milik warga Myanmar

BUTTERWORTH: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyamun rantai leher emas milik seorang wanita warga Myanmar, minggu lepas.

Tertuduh, Muhammad Fitri Suwaidi, 26, yang berstatus ditahan kerja ketika kejadian membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyamun rantai leher emas milik wanita terbabit sehingga menyebabkan mangsa berada dalam ketakutan di hadapan sebuah rumah bernombor 344, Jalan Pekan Darat, Permatang Tok Jaya di sini, kira-kira pukul 4 petang, 16 Oktober lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas kesalahan itu, dia boleh dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun selain boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim tidak menawarkan jaminan selepas mengambil kira status tertuduh sebagai anggota polis serta kesalahan yang dihadapinya.

Nadhirah bagaimanapun mengemukakan syarat yang perlu dipertimbangkan sekiranya jaminan dibenarkan termasuk mahu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis serta tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan minimum diberikan dengan alasan dia perlu menyara keluarga termasuk dua anak yang masih kecil serta ibu yang tidak bekerja. Menurut tertuduh, bapa dan isterinya pula masing-masing bekerja di sebuah kilang dan restoran makanan segera.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan lelaki itu menyerahkan pasport serta tidak mengganggu mangsa sepanjang kes berjalan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 November ini.-UTUSAN

Scroll to Top