Mumbai: Mahkamah di New Delhi pada Rabu memerintahkan pembebasan dua pemimpin pergerakan Cockroach Janta Party (CJP), Ashutosh Ranka dan Saurav Das, selepas mereka ditahan minggu lalu kerana mengadakan tunjuk perasaan di lokasi bersejarah yang melanggar larangan, lapor media tempatan.
Laman web undang-undang Live Law melaporkan, perintah pembebasan itu dikeluarkan lewat Rabu.
Das dan Ranka adalah antara 14 individu yang memanjat pagar sekatan pada 13 Oktober lalu untuk memasuki Balai Cerap Jantar Mantar di pusat bandar Delhi, sehari selepas lokasi itu dikeluarkan daripada senarai tempat bantahan yang dibenarkan untuk mengadakan tunjuk perasaan.
Kumpulan itu mengibarkan bendera kebangsaan dan melaungkan slogan menuntut peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Gyanesh Kumar sebelum ditahan polis.
Mahkamah kemudian memerintahkan mereka dipenjarakan selama lima hari sebelum tempoh tahanan itu dilanjutkan selama dua hari lagi pada Isnin.
CJP, gerakan pimpinan golongan muda bersama parti pembangkang dan organisasi pelajar berhaluan kiri mengadakan beberapa siri tunjuk perasaan bulan ini bagi mendesak Kumar meletak jawatan berhubung semakan senarai pemilih yang didakwa memihak kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menafikan dakwaan memihak kepada mana-mana parti dan menjelaskan bahawa pengundi yang namanya digugurkan secara tidak wajar boleh mendaftar semula.
Sementara itu, BJP menuduh pihak lawan cuba menggugat demokrasi dengan mempersoalkan proses pilihan raya yang sah.
Pengasas CJP, Abhijeet Dipke pula ditahan secara berasingan pada Jumaat dan dibebaskan sehari kemudian selepas cuba mengetuai satu lagi perhimpunan tunjuk perasaan di New Delhi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




