Lebih 700,000 pengguna muat turun aplikasi TuJu

Lebih 700,000 pengguna muat turun aplikasi TuJu

CYBERJAYA: Aplikasi navigasi pintar tempatan, TuJu merekodkan lebih 700,000 muat turun setakat semalam, susulan peningkatan minat pengguna terhadap aplikasi yang dibangunkan sebagai alternatif kepada Waze dan Google Maps.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Dr. Mohammed Ridzuan Jahidin berkata, aplikasi TuJu sudah bersedia digunakan sejak November tahun lalu, manakala penambahbaikan terus dilakukan khususnya bagi meningkatkan keupayaan navigasi, sementara ciri-ciri lain yang tersedia boleh terus dimanfaatkan oleh pengguna.

Menurut beliau, antara kelebihan aplikasi itu ialah ciri kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung yang membolehkan pengguna melihat keadaan trafik di lokasi lebuh raya pilihan mereka, selain aplikasi berkenaan turut dilengkapi butang kecemasan (SOS) bagi membolehkan pengguna menyalurkan maklumat sekiranya menghadapi masalah ketika menggunakan lebuh raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, menerusi ciri berkenaan, maklumat kecemasan yang disampaikan pengguna akan disalurkan kepada syarikat konsesi lebuh raya yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

“Sejak semalam sudah melebihi 700,000 (muat turun) dan kami sedang meningkatkan lagi perkhidmatan terutamanya dari segi navigasi (tapi) ciri-ciri lain itu masih boleh digunakan,” katanya pada taklimat kepada agensi media mengenai isu-isu semasa keselamatan negara di sini hari ini.

TuJu merupakan sebuah aplikasi navigasi pintar tempatan yang dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn. Bhd.

Sementara itu, Pengarah Operasi dan Senggara LLM, Ir. Mohd Shahrir Amin Ahmad berkata, aplikasi itu kini sedang dinaik taraf menerusi versi kedua dengan penambahan beberapa ciri baharu bagi meningkatkan pengalaman pengguna.

Jelasnya, versi kedua itu antaranya bakal menawarkan ciri berkaitan kenderaan elektrik (EV), lokasi menarik tumpuan awam serta fungsi menyimpan destinasi yang kerap dikunjungi pengguna.

Tambahnya lagi, pengguna juga boleh mengenal pasti lokasi kenderaan mereka diletakkan, termasuk di kawasan parkir yang luas, menerusi ciri navigasi yang disediakan.

“Versi kedua TuJu sudah dilancarkan untuk peranti Android, manakala versi iOS dijangka tersedia pada penghujung bulan ini selepas proses pengujian selesai,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top